Dialisis atau pemindahan buah pinggang?

Ramai dalam kalangan pesakit masih kurang kesedaran tentang rawatan tersebut

UMPAMA titik hitam dalam hidupnya, Mohd Sobri Ahmad Yatim disahkan menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir pada awal tahun 2016.

Penyakit yang tidak diduganya itu hanya disedari selepas bapa kepada dua orang anak itu mengalami demam dan muntah yang kerap. Badannya pula begitu lemah.

Detik berjumpa pakar di salah sebuah hospital swasta dan pada hari yang sama beliau terus dimasukkan ke wad serta menerima rawatan dialisis sesungguhnya tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Doktor memaklumkan buah pinggang saya sudah tidak mampu menapis darah. Ketika itulah saya secara rasminya bergelar pesakit buah pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali dalam satu minggu,” katanya.

Setahun menerima rawatan dialisis, selepas berbincang secara terperinci dengan pakar nefrologi, beliau dicadangkan untuk melakukan pemindahan buah pinggang di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Lebih manis, beliau menerima buah pinggang ‘baru’ daripada isteri yang tersayang.

“Alhamdulillah, selepas proses pemindahan berjaya dilakukan, hidup saya kembali normal. Saya sudah tidak perlu berulang-alik melakukan dialisis.

“Jadi, saya menggalakkan pesakit ini mencuba inisiatif pemindahan buah pinggang. Mereka hanya perlu mengambil ubat khusus dan tidak perlu terikat dengan jadual rawatan dialisis lagi,” kongsi lelaki berusia 34 tahun itu dengan Medik.

Bayangkan, lebih 40,000 pesakit menjalani rawatan dialisis di Malaysia daripada anggaran 850 juta yang menghidap penyakit buah pinggang di seluruh dunia. Lebih 7,000 kes baharu pula dicatatkan setiap tahun.

Sekurang-kurangnya 2.4 juta pesakit kronik itu maut setiap tahun. Angka itu mencatatkan sakit buah pinggang sebagai punca kematian keenam tertinggi di dunia.

Hakikatnya, pada tahun 2018, seramai 1,800 pesakit berjaya menjalani prosedur pemindahan buah pinggang. Mohd Sobri juga antara individu bertuah berjaya melepasi ujian getir itu.

Pun demikian adakah semua pesakit buah pinggang mampu menjalani rawatan dan kembali pulih seperti beliau?

Pakar Nefrologi Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Dr Wan Ahmad Hafiz Wan Md Adnan atau Dr Hafiz ada perkongsiannya.

DR Wan Hafiz

Rata-rata pesakit keliru apakah kaedah terbaik bagi merawat penyakit buah pinggang.

Terang Dr Hafiz, sebelum mengetahui menjalani kaedah dialisis atau pemindahan buah pinggang, pesakit perlu mengetahui tahap kerosakan yang dialaminya sama ada antara tahap satu hingga lima.

Secara umumnya, dialisis adalah rawatan yang mengambil alih tugas-tugas yang dilakukan oleh buah pinggang. Ia melibatkan hemodialisis (pembersihan darah) dan peritoneal dialisis (menggunakan cecair).

Masalah fungsi buah pinggang semakin teruk ditunjukkan dengan simptom seperti loya, muntah-muntah, sakit perut, pening kepala, mengantuk, tidak bermaya dan sebagainya.

Ya, ramai yang khuatir tatkala sesudah membuat ujian darah lalu disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga misalnya. Mereka akan tertanya-tanya perlukah dialisis dilakukan?

“Sebenarnya, tidak semestinya perlu membuat dialisis. Lazimnya, pesakit di tahap kelima sahaja yang perlu melakukannya. Namun, perbincangan lebih lanjut bersama pakar adalah sangat diperlukan.

“Kebanyakan pesakit buah pinggang di Malaysia akan membuat pemindahan buah pinggang hanya selepas menerima rawatan dialisis,” kata Dr Hafiz ketika ditemui di UMSC, di ibu negara, baru-baru ini.

Tentang pemindahan buah pinggang (transplan) pula, prosedur itu adalah hasil kemajuan dalam sains perubatan yang merupakan rawatan pilihan bagi penyakit buah pinggang peringkat akhir.

Malangnya, kesedaran pesakit untuk membuat pemindahan buah pinggang masih kurang, kata Dr Hafiz. Pesakit kadangkala tidak tahu mengenainya.

“Sedar-sedar pesakit sudah menerima rawatan dialisis, kemudiannya baru terfikir untuk melakukan pemindahan buah pinggang.

Sebenarnya jika adanya peluang untuk membuat pemindahan buah pinggang, maka segeralah melakukannya apabila telah tiba masanya. Pemindahan buah pinggang bergantung kepada dua prinsip utama iaitu kesesuaian antara penerima dan penderma, dan tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Aspek kesesuaian memerlukan ujian darah dilakukan bagi memastikan tiada masalah yang besar semasa proses pemindahan buah pinggang.

“Walaupun darah tidak sesuai (seperti penderma berdarah A manakala penerima berdarah O), pemindahan buah pinggang masih boleh dilakukan kerana wujud rawatan lanjut bagi menyesuaikannya dengan melibatkan beberapa prosedur tambahan.

“Paling penting, individu yang berhajat untuk menderma buah pinggangnya berada dalam keadaan tahap kesihatan yang baik tidak mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan masalah jantung.

Menariknya, menurut beliau hampir 90 peratus keupayaan pesakit untuk hidup selepas lima tahun setelah melakukan pemindahan buah pinggang, berbanding hanya sekitar 50 peratus untuk pesakit dialisis.

Pemindahan buah pinggang juga memberi manfaat lain.

Antaranya, apabila sudah tidak perlu melakukan dialisis, maka komplikasi akibatnya, seperti masalah sel darah merah yang rendah, masalah pereputan tulang dan masalah salur darah yang mengeras juga akan terhenti ataupun berkurang.

“Perlu diketahui pemindahan buah pinggang mempunyai risiko tersendiri, terutamanya risiko melibatkan pembedahan dan risiko buah pinggang baru tidak diterima oleh pesakit.

KEMUDAHAN rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang.

“Oleh itu, pesakit yang membuat menerima buah pinggang baru perlu makan ubat antirejaksi bagi mengelak organ itu tidak diterima oleh badan,” katanya.

Dr Hafiz turut berkongsi, orang muda paling kerap tidak makan ubat kerana merasakan diri mereka sihat sepenuhnya.

Seperkara yang perlu diketahui, penderma hidup yang menderma satu buah pinggang kepada orang lain turut mempunyai jangka hayat yang lebih kurang sama dengan populasi umum lain. Malah, ada antara kita yang mempunyai hanya satu buah pinggang sejak lahir tanpa mempunyai banyak masalah.

“Bagaimanapun, penderma perlulah bijak menjaga kesihatan diri. Ini kerana, sekiranya mereka mendapat penyakit kronik seperti darah tinggi atau kencing manis pada masa depan, risiko kerosakan kepada buah pinggang adalah lebih tinggi,” terang Dr Hafiz.

Berhubung latar belakang penderma di negara ini pula, rata-ratanya adalah dalam kalangan mereka yang dikenali sebagai penderma hidup yang merupakan ahli keluarga kepada pesakit.

Jumlah penderma yang sudah meninggal dunia, amatlah terhad di negara di Malaysia.

“Meskipun umum mengetahui kadar kematian kemalangan jalan raya yang tinggi di negara kita sekitar 6,000 kes dalam setahun. Sekiranya hanya 1 peratus yang menderma buah pinggang, akan lebih ramai pesakit yang mendapat manfaat.

“Namun setiap tahun hanya terdapat 10 ke 20 pendermaan sahaja melibatkan orang yang sudah meninggal dunia akibat kematian otak,” katanya.

Iklan

Berkongsi mengenai lokasi yang boleh melakukan pemindahan buah pinggang di Malayisa, Dr Wan berkata antara tempatnya di Hospital Kuala Lumpur dan UMSC.

“Pemindahan buah pinggang boleh terus dilakukan dengan memastikan kedua-dua iaitu penderma dan penerima di dalam tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Bagaimana agaknya kualiti hidup mereka yang tidak menjalani prosedur pembedahan buah pinggang?

Secara jujurnya, ujar Dr Hafiz, ia bergantung kepada pesakit tersebut. Bukan semua pesakit boleh menjalani pemindahan organ.

“Biarpun pemindahan organ ini amatlah disyorkan kepada pesakit yang boleh melakukannya, masih ada pilihan lain jika pemindahan buah pinggang tidak bersesuaian kepada mereka mahupun tidak mempunyai penderma.

“Antara kaedah lainnya, pesakit boleh memilih untuk terus melakukan dialisis. Tapi, jika pesakit enggan menerima rawatan dialisis dan menganggapnya sesuatu yang membebankan, pesakit boleh memilih kaedah penjagaan konservatif,” katanya.

Penjagaan konservatif bagi pesakit buah pinggang adalah bidang baru di Malaysia. Menurut beliau penjagaan tersebut melibatkan pakar dengan tugas mereka mengawal simptom pesakit di akhir hayat mereka. Sebagai contoh, penggunaan  ubat tahan sakit bagi membantu pernafasan pesakit agar tidak tercungap-cungap.

Kesedaran derma organ masih rendah 

TAHAP kesedaran masyarakat di negara ini terhadap kepentingan pendermaan organ masih rendah. Walaupun sudah difatwakan sebagai ‘harus’, namun masyarakat masih lagi mempunyai stigma terhadap proses tersebut termasuklah pendermaan dan pemindahan buah pinggang.

Itu kata Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Dr Fariz Safhan Mohamad Nor.

DR Fariz Safhan.

Menurut Dr Fariz lagi, pemindahan buah pinggang merupakan satu-satunya rawatan terbaik untuk pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir, namun kaedah perawatan ini masih janggal di Malaysia.

“Sungguhpun demikian, ia semakin diterima oleh masyarakat kita sebagai satu kaedah dalam membantu pesakit yang memerlukan organ baharu untuk meningkatkan kualiti hidup.”

“Pendermaan organ merupakan satu perawatan yang membawa seribu manfaat kepada pesakit dan keluarga mereka,” terang Dr Fariz lagi.

Sr Fariz juga berkongsi bahawa pendermaan organ boleh dibahagikan kepada dua jenis; iaitu pendermaan organ kadaverik, dan pendermaan organ semasa hidup.

Iklan

Lazimnya, pendermaan organ kadaverik berlaku setelah penderma meninggal dunia dan perlu proses ini perlu mendapat keizinan daripada waris si mati.

Antara organ yang boleh didermakan daripada kadaverik ialah buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, dan juga tisu seperti kornea (mata), kulit, injap jantung, dan tulang.

Manakala, penderma organ semasa hidup boleh mendermakan sebahagian daripada hati atau salah satu daripada dua buah pinggang mereka. Penderma organ hidup pada kebiasaannya merupakan ahli keluarga, atau pasangan suami isteri.

“Kekurangan penderma organ daripada kalangan penderma hidup, dan juga keizinan daripada waris kadaverik, menjadi cabaran utama dalam menjayakan pemindahan organ bagi membantu pesakit,” katanya.

Ungkap Dr Fariz, pelbagai usaha dan strategi telah dijalankan bagi memberi maklumat dan informasi yang tepat seperti ceramah, kempen di media massa dan media sosial dan sebagainya.

“Akan tetapi proses ini mungkin memakan masa kerana tugas untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya pendermaan organ bukanlah mudah kerana perkara ini dianggap tabu dalam sebahagian masyarakat negara ini.”

“Penjelasan tuntas dari perspektif agama, termasuk berkongsi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan pendermaan organ amat penting bagi memastikan masyarakat tidak lagi terikat dengan halangan agama untuk menjadi penderma organ,” katanya lagi.

Berkaitan dengan halangan budaya, Dr Fariz menyifatkan ia dapat diatasi dengan adanya maklumat dan penjelasan yang mudah diperoleh oleh masyarakat.

Oleh itu, antara yang disebut oleh Dr Fariz, ialah promosi berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi program Jom Ikrar Derma Organ dan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ. Roadshow juga dijalankan dan Unit Transplan biasanya ada membuka gerai untuk berikrar dan memberikan informasi kepada yang berminat.

“Pada masa yang sama, pihak bertanggungjawab termasuk orang awam memberi pendedahan asas kepada masyarakat mengenai pendermaan organ kadaverik dan menggalakkan orang ramai mendaftar secara sukarela.”

Tambah Dr Fariz juga, orang awam yang sudah berikrar untuk mendermakan organ seharusnya mengajak ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan mereka untuk turut berikrar supaya lebih ramai pesakit kegagalan organ peringkat akhir mendapat manfaatnya.

TINGKATKAN kesedaran penderma organ di Malaysia.

“Kita sudah ada teknologi untuk pemindahan organ, antara yang terbaik dalam dunia, namun sayangnya kita kekurangan sumber yang paling utama, iaitu organnya”

“Derma organ satu ikrar sejuta harapan, semoga usaha-usaha tersebut mampu untuk meningkatkan lagi pengikrar penderma organ,” kata Dr Fariz.