TUNTUTAN Islam terhadap kewajipan berpuasa sebulan dalam setahun pastinya mempunyai signifikasi tersendiri termasuk memberi faedah kepada kesihatan tubuh.

Tetapi tahukah anda, amalan berpuasa juga amat baik untuk otak?

Secara saintifik, setiap kali kita makan, kandungan glukos dalam darah akan tinggi lalu merangsang rembesan insulin yang membolehkan makanan ditukar menjadi  sumber tenaga kepada tubuh.

Pegawai Perubatan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, Dr Nur ‘Athira Faisal Sabri  menyifatkan insulin ibarat orang tengah.

DR ‘Athira.

Contoh mudah, katanya, insulin akan pergi ke sel lalu ‘mengetuk pintu‘ agar ia dibenarkan masuk untuk menghasilkan tenaga kepada sel. Sekiranya berpuasa, kandungan glukos dalam darah menjadi  rendah, menyebabkan badan mencari sumber tenaga lain iaitu lemak di dalam tubuh.

“Begitu juga sel-sel otak. Namun, istimewanya sel otak ini, ia tidak boleh menggunakan lemak sebagai sumber tenaga. Justeru, sebagai ganti ia menggunakan zat keton yang terhasil daripada penguraian lemak,“ kata Dr ‘Athira kepada Sinarplus.

Jelasnya, keton akan menghasilkan lebih banyak tenaga dalam otak  berbanding glukos. Pastinya itu akan memberi kesan yang sangat mengejutkan dan manfaat tersembunyi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Apa yang berlaku kepada otak ketika berpuasa? Seperti tubuh, otak juga menghasilkan bahan buangan, antaranya ialah bahan yang dikenali sebagai spesies oksigen reaktif (ROS).

“Sifat ROS ini sangatlah nakal dan ganas. Ia boleh menyebabkan kerosakan pada struktur protein lain. Oleh sebab itu, keton akan membantu mengaktifkan antioksidan dan mengeluarkan bahan buangan tersebut secepat mungkin.

“Apabila bahan buangan tersebut telah dibersihkan daripada otak, sel akan dibaiki dengan cepat. Inilah kebaikan utama berpuasa kepada otak,“ terang Dr ‘Athira.

Menurutnya, sebagai perbandingan, jika 100 gram (g) glukos digunakan, ia akan menghasilkan 8.7 kilogram (kg) tenaga.

Sebaliknya pula berlaku jika otak menggunakan keton jenis beta-hidroksibutirat, ia akan menghasilkan 10.5kg tenaga dengan kuantiti yang sama.

“Jadi, jelaslah keton lebih banyak menghasilkan tenaga berbanding glukos sekali gus menyediakan otak tenaga yang lebih tinggi.

“Seterusnya, otak akan menjadi lebih aktif dan berupaya memberi perlindungan khusus kepada sel-selnya,“ kata Dr ‘Athira.

Seperkara lagi, fasa berpuasa dan tidak makan siang pastinya dapat merehatkan  usus dan perut daripada terus bekerja.

Oleh sebab itu, darah boleh menumpukan perhatiannya ke bahagian-bahagian lain tubuh termasuk otak.

“Secara tidak langsung perkara itu akan membuatkan otak lebih aktif dan bertenaga,“ kata Dr ‘Athira.

Cegah Alzheimer

Bersependapat dengan Dr ‘Athira ialah Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Arau, Perlis, Dr Mohammad Hatim Ahmad.

DR Hatim.

Menurutnya, sudah ada kajian yang dilakukan ke atas manusia dan haiwan di seantero dunia dalam tempoh dua dekad lalu untuk mengetahui kebaikan berpuasa. Itulah juga sebabnya berpuasa turut menjadi amalan penganut pelbagai agama dan kepercayaan lain, bukan sahaja Islam.

Iklan

Kongsi Dr Hatim, satu kajian pernah dilakukan terhadap atlet-atlet yang berpuasa di Singapura. Prestasi mereka semasa latihan sangat memberangsangkan walaupun ia memerlukan pergerakan pantas yang banyak menggunakan tenaga.

Pun begitu, bagi aktiviti yang kurang memerlukan tenaga, daya fokus dan ketelitian mereka tetap sama dan bertahan hingga ke petang.

Mengulas mengenainya, kata Dr Hatim, otak akan mengalami stres apabila glukos berkurang. Ia berlaku sementara menunggu proses untuk keton siap.

Berpuasa juga merangsang protein BDNF iaitu faktor neurotropik daripada otak.

“BDNF ialah sejenis protein dalam otak. Kuantitinya akan meningkat sewaktu berpuasa dan bertindak seperti baja yang menyuburkan otak.

“Ia akan membantu meningkatkan memori, menguatkan sel-sel sedia ada dan menggantikan sel-sel yang telah mati,“ terang Dr Hatim.

Iklan

Pada masa yang sama, berpuasa juga membantu mencegah penyakit saraf seperti Alzheimer dan Parkinson.

Lebih bermanfaat, menurutnya, berpuasa menggalakkan pertumbuhan sel-sel baharu sekali gus merangsangnya agar cepat berhubung. Apabila ini berlaku, fungsi kognitif otak menjadi semakin baik.

ANEKDOT

Menurut Pakar Neurologi di Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, Prof  Dr Mark Mattson, berpuasa meningkatkan kadar neurogenesis otak. Neurogenesis adalah pertumbuhan sel-sel otak dan tisu saraf baharu.

Kadar neurogenesis yang lebih tinggi dikaitkan dengan peningkatan prestasi otak, ingatan, mood dan tumpuan.

Sumber: hellodoktor.com