Kejang otot boleh picu penyakit kronik seperti Parkinson. Ini antara makanan yang boleh bantu kurangkan risiko
MASALAH kekejangan otot dalam kalangan ahli sukan adalah satu hal biasa. Namun, bagaimana pula kepada mereka yang langsung tidak aktif? Mudah kata, malas nak bersenam, apalagi berjoging? Apa yang tidak kena?
Menurut Cleveland Clinic, krisis kesihatan itu sebenarnya berpunca daripada kontraksi yang menyakitkan dan membuatkan otot berasa ketat dalam tempoh beberapa saat atau berlanjutan hingga 15 minit.
Keadaan tersebut boleh berlaku secara tiba-tiba pada bahagian anggota badan dan sukar diramal.
Ia boleh menyerang paha, betis, kaki, tangan, lengan termasuk perut ketika seseorang sedang berjalan, duduk, bersenam atau pun tidur!
"Sesetengah individu yang mengalami kekejangan otot yang ringan, tetapi terdapat juga serangan yang boleh membawa kesakitan yang teruk," katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan kekejangan otot, SinarPlus menemui Pakar Ortopedik dan Traumatologi Am, SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Dr Farid Fikri Shukri baru-baru ini.
Kata Dr Farid Fikri, permasalahan tersebut boleh berlaku tidak mengira usia, sama ada seseorang bergerak cergas atau sebaliknya.
“Jika mereka dalam kategori aktif, ia tercetus kerana penggunaan otot yang kerap dan terlalu banyak. Sebagai contoh, atlet sukan bola sepak, bola keranjang dan beberapa sukan lain yang banyak menggunakan otot kaki untuk melompat, berlari dan memecut memang cenderung mengalami kekejangan,” katanya.
Bagaimana pula dengan golongan yang tidak aktif? Menjawab soalan itu, Dr Farid berkata, kondisi tersebut tercetus kerana mereka jarang menggunakan kekuatan otot sehingga ia menjadi lemah.
Baca juga: Tular gambar warga emas bersukan curi perhatian ramai, ini info berkaitan teknologi AI
Berikut disenaraikan faktor-faktor lain yang menyumbang. Antaranya:
i. Aktiviti bersukan
Tidak melakukan senaman regangan sebelum bersukan. Pemanasan badan membantu tubuh supaya bersedia untuk aktiviti bersukan.
ii. Pernah mengalami kecederaan otot
Seseorang yang pernah mengalami kecederaan mempunyai risiko enam kali ganda lebih mudah mendapat serangan semula lebih-lebih lagi jika mereka menyertai aktiviti sukan terlalu awal setelah tercedera.
iii. Badan yang sentiasa keletihan dan otot yang tidak kuat
Otot yang lemah menyebabkan badan kurang fleksibiliti dan keseimbangan.
iv. Hilang keseimbangan otot
Apabila otot bahagian depan (anterior) dan belakang (posterior) tidak seimbang, anggota otot yang lebih lemah mudah kejang.
v. Umur
Mereka yang semakin berusia lebih mudah terkena serangan otot.
Fisioterapi
Dalam pada itu, kata pakar berkenaan, tubuh yang kurang nutrisi akibat kekurangan pengambilan protein dan vitamin B kompleks juga boleh menjadi penyebab masalah tersebut.
Bagaimanapun, beliau menafikan, pengambilan ubat tertentu boleh menyebabkan anggota badan seseorang mengalami kekejangan.
"Buat masa ini tiada bukti yang mengukuhkan pandangan berkenaan. Jika ada, mungkin ia hanya kes terpencil atau berlaku kepada individu tertentu sahaja," jelasnya.
Pun demikian, beritahu Dr Farid, situasi tersebut kemungkinan boleh menjadi petanda atau isyarat kepada penyakit kronik.
Individu yang kerap mengalami kekejangan berisiko berdepan dengan kegagalan buah pinggang kronik, urat bersimpul (varicose vein), diabetes mellitus, Parkinson termasuk kecederaan saraf (peripheral neuropathy).
Untuk keadaan yang kronik, pesakit mungkin tidak dapat memijak atau melangkah kaki.
Baca juga: Selalu kejang otot selepas bersenam. Ini sebab dan cara atasinya dengan mudah
Situasi berkenaan akan menyaksikan otot yang terlibat akan bengkak dan menjadi kebiru-biruan walaupun telah mengambil ubat tahan sakit atau regangan.
Selain itu, komplikasi serangan pada otot boleh terjadi sehingga menyebabkan ia (otot) mengecil dan lemah. Implikasinya, tubuh akan hilang keseimbangan.
Dari aspek rawatan, Dr Farid berkata, kesakitan boleh dikurangkan dengan mengambil ubat tahan sakit atau melakukan fisioterapi.
Otot yang terlibat juga perlu direhatkan. Sekiranya perlu, boleh menggunakan ais, menekan kawasan bengkak, kemudian meninggikan kaki untuk melancarkan darah dan mengurangkan rasa sakit.
“Pesakit yang mengalami kejang pada bahagian betis boleh melunjurkan kaki dan menolak hujung tapak kaki sehingga menunding ke arah betis.
“Melipat sendi paha sepenuhnya sehingga hujung belakang buku lali dengan menyentuh bahagian punggung juga boleh membantu melegakan otot paha yang tegang,” katanya.
Baca juga: Imsonia, kemurungan boleh tercetus gara-gara masalah kejang kaki
Baca juga:Celine Dion batal konsert, alami kejang otot serius
ANEKDOT
MAKANAN yang membantu mengurangkan masalah kekejangan otot
- Avocado: Kaya dengan kalium dan magnesium yang bertindak sebagai elektrolit dalam badan.
2. Tembikai: Buah yang tinggi kandungan air.
3. Air kelapa: Ia mengandungi kalsium, kalium, magnesium dan fosforus.
4. Keledek: Sayuran ini mempunyai tinggi vitamin dan mineral dan baik untuk fungsi otot.
5. Yogurt Greek: Makanan tenusu yang tinggi nutrien dan baik untuk badan.
6. Air rebusan tulang: Ia bukan sahaja membantu seseorang kekal terhidrat, malah boleh mengurangkan masalah kekejangan otot.
7. Makanan yang ditapai: Jeruk dan kimchi yang tinggi sodium adalah pilihan makanan yang baik.
8. Salmon: Tinggi dengan zat besi dan mineral yang penting untuk pengeluaran sel darah yang sihat.
9. Minuman smoothies: Kombinasi pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran yang dikisar membantu tubuh mendapatkan fungsi yang optimum.
10. Sardin: Ikan kecil ini tinggi dengan selenium.
Sumber HEALTHLINE
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang