Kekal sihat di hujung jari

gajet aplikasi etrend
gajet aplikasi etrend
A
A
A

PADA hari ini segala maklumat boleh diperoleh dengan mudah dan cepat hanya di hujung jari. Ya, perkara itu tidak dinafikan sekiranya seseorang itu memanfaatkan gajet, peranti atau telefon pintar miliknya.

Kecenderungan orang ramai menggunakan anugerah teknologi itu tampaknya bukan setakat untuk membeli-belah secara atas talian. Aplikasi yang dimuat turun mampu menjadi pembantu peribadi untuk kekal sihat, cergas dan cantik.

Evolusi penerokaan aplikasi dan portal kesihatan serta gaya hidup kini berjaya menjadi trend. Sesungguhnya ia kini peneman dalam kalangan golongan yang mementingkan gaya hidup sihat.

Buktinya, jika sebelum ini pengguna perlu ke klinik untuk merujuk doktor, tetapi kini mereka berpeluang 'berkomunikasi' bersama pegawai perubatan hanya menerusi telefon pintar.

Pun begitu, nasihat E-Trend, bagi anda yang mengalami sebarang penyakit kronik, lebih baik bersemuka terus dengan para pengamal perubatan bertauliah.

Berikut disenaraikan lima aplikasi dan laman sesawang kesihatan popular untuk rujukan pembaca sempena tema Bulan Kesihatan Sinar Plus minggu ini.

MyFitnessPal

Aplikasi dibangunkan oleh Under Armour Inc ini pernah mendapat pengiktirafan istimewa oleh syarikat akhbar dan majalah antarabangsa.

MyFitnessPal yang menyediakan 19 bahasa seperti Inggeris, Jerman, Rusia, Turki dan Indonesia terpilih sebagai aplikasi kesihatan dan kecergasan terbaik selama empat tahun berturut-turut.

Hadir dalam saiz 156.9mb, aplikasi berkenaan memudahkan individu yang sedang berusaha mencapai gaya hidup sihat menerusi pengambilan makanan berkhasiat.

Selain menawarkan senarai untuk merekod hidangan yang telah diambil, pengguna juga boleh melakukan imbasan bagi mendapatkan senarai nutrisi pada produk makanan.

Coronavirus Tracker

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai koronavirus (Covid-19) dalam kadar segera hanya perlu melayari laman sesawang https://www.coronatracker.com.

Menerusi web tersebut, pengguna bukan sahaja berpeluang melihat statistik Covid-19 yang berlaku di negara ini, bahkan ia meliputi peringkat global.

Selain memaparkan jumlah disahkan positif Covid-19, misalnya, Coronavirus Tracker turut menampilkan bilangan mangsa yang kembali pulih, mahupun yang berdepan ajal.

myHEALTH

APLIKASI yang dibangunkan KKM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bertujuan memudahkan para pengguna memperoleh maklumat perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Aplikasi myHEALTH yang boleh dimuat turun dalam peranti dan telefon pintar menawarkan:

- Modul penilaian tahap kesihatan yang boleh diuji-pakai orang ramai berdasarkan modul dalam portal myHealth.

- Informasi lokasi hospital dan klinik kerajaan di Malaysia

- Himpunan soalan lazim dan jawapan yang sering diajukan para pengguna kepada pihak KKM.

- Memaparkan Mobile Denggi yang menyalurkan informasi pengawasan wabak denggi di sekitar kawasan anda.

- Menyenaraikan semakan pengamal perubatan yang diiktiraf oleh pihak KKM meliputi nama, nombor pendaftaran dan lokasi.

MyNutriApps

Menurut laman web mynutri.moh.gov.my, lazimnya penyebab utama kematian dan morbiditi di Malaysia disebabkan penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi, diabetes dan kanser.

Kesemua penyakit terbabit adalah disebabkan amalan gaya hidup yang kurang bersenam dan tidak mengamalkan pemakanan sihat.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut pihak KKM mewujudkan aplikasi MyNutriApps untuk dimuat turun dalam telefon pintar.

Selain mengetahui status berat badan, pengguna juga berpeluang mengenal pasti menu yang bersesuaian dengan keperluan kalori dan aktiviti fizikal bersesuaian.

Diharapkan dengan wujudnya aplikasi MyNutriApps, masyarakat lebih proaktif dan komited mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

HealthTap

Bayangkan tanpa perlu ke klinik segala kemusykilan tentang kondisi kesihatan masih boleh diperoleh menerusi aplikasi HealthTap.

Direkodkan, lebih 140,000 penerangan para doktor berhubung isu kesihatan yang dikongsikan dalam aplikasi tersebut.

Bertambah menarik, selain jawapan berbentuk teks pengguna juga boleh membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan sesi konsultasi bersama doktor menerusi aplikasi terbabit.

Barisan doktor akan berkongsi saranan dan maklumat kesihatan sehingga anda tidak perlu ke klinik.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca