GARA-GARA Covid-19, bukan sahaja kehidupan harian masyarakat di negara ini, bahkan di seantero dunia menjadi kelam-kabut.

Pelbagai usaha untuk memutuskan rantaian wabak berkenaan diambil termasuklah langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

Justeru, impaknya bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan, penerbangan, makanan dan industri fesyen, malah sesi pembelajaran di sekolah dan universiti juga menerima tempias yang sama.

Para penuntut harus meninggalkan kampus dan pulang ke kediaman masing-masing manakala sesi pembelajaran di dalam dewan kuliah dihentikan sementara.

Bagaimanapun, jiwa seorang pendidik lazimnya memang tidak akan membiarkan anak didiknya terkapai-kapai tanpa ilmu yang belum sempat diperturunkan.

Enggan membiarkan kumpulan pelajar duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa, seorang pensyarah fesyen di DeTao Masters Academy, Shanghai, China, Patrick Gottelier antara yang mengambil inisiatif menganjurkan kelas rekaan secara maya.

fesyen
Gottelier ambil inisiatif anjur kelas secara online sepanjang krisis Covid-19 bersama pelajar rekaan fesyen, DeTao Masters Academy, Shanghai, China

Terdapat segelintir pihak mempersoalkan signifikasi kelas secara atas talian kerana lazimnya ilmu jahitan dan rekaan memerlukan penyarah berada di depan pelajar.

Menurut Gottelier, situasi krisis Covid-19 secara tidak langsung memberinya inspirasi untuk mengolah modul dan kukurikulum pembelajaran agar momentum pelajar dapat dikekalkan.

Maklum balas positif
“Seiring peredaran zaman dan kecanggihan teknologi yang mana segala-galanya pada hujung jari, saya memilih untuk berinteraksi dan mengajar mereka (pelajar) secara atas talian.

“Ini bermakna, walaupun berkurung di rumah, mereka masih berpeluang menghadiri kuliah, tetapi dengan kaedah berbeza. Kita perlu kreatif bagi mendapatkan input dan hasil positif,“ katanya dalam satu temu bual bersama agensi media luar negara.

Berharap agar kelas tersebut dapat mengelakkan pelajarnya kebosanan, beliau menjelaskan sesi pembelajaran masih berlandaskan modul asas, namun diolah mengikut kesesuaian situasi getir hari ini.

fesyen
Modul dan kukurikulum pembelajaran diolah agar momentum pelajar dapat dikekalkan.

“Aplikasi WeChat antara platform yang digunakan untuk mengendalikan kelas sejak awal bulan Februari lalu sehingga hari ini. Selain menunjukkan demo melakar dan memotong pola yang betul, para pelajar turut belajar teknik mengait, menjahit dan mereka pakaian menerusi paparan skrin.

“Setakat ini, rata-rata pelajar memberikan maklum balas yang positif. Biarpun tidak berpeluang ke studio jahitan di kampus, namun suasana sama dirasai di kediaman peribadi dalam tempoh antara empat hingga enam minggu.

Iklan

“Lagipun menerusi kaedah ini (kelas atas talian) kita dapat menjaga jarak antara satu sama lain bagi mengelakkan penularan wabak. Jika di dalam kelas fizikal kami boleh ketawa, namun menerusi WeChat kegembiraan, kesedihan atau kekeliruan ditukar dalam bentuk emoji,“ tutur beliau.

Sementara itu, penuntut tahun dua jurusan rekaan fesyen dikenali sebagai Niko menyifatkan kelas tersebut telah mencipta atmosfera luar biasa. Mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian pada demostrasi yang ditunjukkan oleh pensyarah.

“Sesi pembelajaran berlangsung dengan tenang tanpa sebarang gangguan rakan-rakan. Walaupun tanpa mesin jahit, tetapi setiap nota yang dititipkan saya catat dengan kemas,“ ujar beliau menerusi catatan blognya mengenai usaha Gottelier.

Dalam pada itu, Gottelier juga berusaha mencipta kelainan dengan menyarankan pelajar tahun akhir mencipta koleksi pakaian menggunakan material terhad.

Iklan

“Memahami situasi pelajar tidak dibenarkan keluar untuk mencari material, maka saya mencadangkan adalah lebih baik mereka baju menggunakan apa sahaja barang yang ada di rumah.

“Inisiatif ini secara tidak langsung mendidik mereka menjadi pereka fesyen yang kreatif dan berinovasi dengan berkarya menggunakan bahan-bahan di depan mata sahaja,“ jelas beliau.

Mudah saja memanfaatkan kemudahan di hujung jari bukan? Barangkali guru fesyen kita juga boleh mengikut jejak langkah dan semangat Gottelier!

Foto: Sumber internet dan Unsplash