SUSULAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi mengawal wabak Covid-19, pasti sebahagian besar kenderaan harian kita seperti kereta jarang bergerak, bukan?

Tidak kurang juga ada kenderaan yang langsung tidak digunakan kerana pemiliknya memilih hanya ‘berkurung’ di rumah sepanjang PKP.

Persoalannya, apakah masalah utama yang akan timbul jika kereta sudah lama tidak bergerak dan enjinnya langsung tidak dihidupkan?

Tambahan pula, jika ‘jantung’ kenderaan berkenaan tidak diaktifkan melebihi tempoh dua minggu, adakah akan menimbulkan masalah teknikal?

Kepada Turbo, seorang mekanik sebuah syarikat kereta berjenama Jepun di utara tanah air, Muhammad Arif Lutfy berkongsi ilmunya.

  1. Bateri akan jadi lemah

Kereta yang ditinggalkan tanpa dihidupkan enjinnya dalam jangka masa satu ke dua minggu akan mengalami kemerosotan kuasa bateri. Masalah akan berlaku sedikit demi sedikit sehinggalah bateri kereta berkenaan hilang kuasa sama sekali.

Keadaan tersebut hanya dapat dibaiki dengan menukarkannya dengan bateri yang baharu.

Sekiranya bateri lama tetap digunakan, peluang enjin kereta untuk hidup dan kembali pulih adalah kira-kira 20 peratus sahaja, itu pun andainya tiada kerosakan yang berlaku pada komponen lain.

  1. Gangguan pada pam minyak

Apabila kereta tidak digunakan untuk jangka masa yang agak lama, hal itu menyebabkan semua minyak yang terdapat pada pemancit (injector) turun dan berkumpul pada penapis petrol.

Minyak tersebut memerlukan kuasa yang kuat daripada pam minyak untuk naik semula bagi memulakan pembakaran enjin. Biasanya pam minyak akan tersentak apabila kuasanya digunakan sepenuhnya.

Motor dalaman pula akan menjadi ketat kerana dibiarkan sekian lama. Kebarangkalian untuk boleh digunakan semula adalah sekitar 50 peratus sahaja.

  1. Gangguan pada brek

Jika kereta tidak bergerak dalam jangka masa yang lama, disarankan agar brek tangan tidak ditarik kerana akan berlaku gangguan pada brek tersebut.

Namun begitu, pastikan keadaan kereta selamat dengan meletakkannya di kawasan yang rata. Jika kawasan tidak rata, tariklah brek tangan itu!

Iklan

Justeru, apakah yang patut dilakukan oleh orang ramai untuk mengelakkan kereta masing-masing menghadapi masalah ‘kesihatan’?

Lazimnya, kereta baharu atau bateri baharu tidak menjejaskan kereta jika ditinggalkan dalam tempoh kurang dari dua minggu. Namun begitu, beberapa perkara perlu diberi penekanan iaitu:

  1. Panaskan enjin 20 ke 30 minit, sekali dalam seminggu (lebih kerap lebih baik)
  2. Tidak perlu memisahkan terminal positif dan negatif pada bateri kerana ia akan memberi kesan kepada komponen elektronik seperti jam dan radio.
  3. Pastikan brek tangan ditarik terlebih dahulu, barulah tukar kepada gear parkir (bagi kereta gear automatik).

Selain itu, jika melibatkan kereta lama atau bateri lama, sebaiknya dipisahkan terminal bateri. Ini kerana kereta lama mungkin mempunyai masalah kebocoran yang akan menyebabkan kuasa bateri mengecas berkurang.

Kongsi Muhammad Arif lagi, jangka hayat bateri adalah mengikut kualiti dan spesifikasi. Ia perlu diberi penekanan kerana bateri kereta juga mempunyai ‘tahap kesihatan’ dan kapasiti mengesas yang perlu diperiksa.

Iklan

“Selain itu, jika kereta menggunakan tangki petrol jenis besi dan lama dibiarkan, pastikan minyak diisi penuh bagi mengelakkan tangki berkarat,” ujarnya.

Penting juga untuk diingatkan, menurutnya, sebelum meninggalkan kereta dalam masa yang lama, pastikan semua suis ditutup.

Sebaiknya kereta dicuci terlebih dahulu kerana kesan kotoran seperti tahi burung boleh menjejaskan cat kereta.