'Cuba balik tapi 'terasa' berat.' 41 hari hilang jejak, bapa syukur Prebet Fakrullah ditemui selamat, tersentuh lihat anak tidak terurus
KEHILANGAN anggota tentera, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, dari Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka baru-baru ini menjadi perhatian ramai.
Masakan tidak, lebih sebulan tanpa khabar berita namun pada hari ke-41 akhirnya sosok anak kelahiran Tanjung Minyak itu ditemukan di Semabok, Melaka.
Bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, berkata, anak kedua daripada tiga beradik ditemui dalam keadaan tidak terurus termasuk berambut agak panjang.
"Alhamdulillah penantian kami selama ini, doa-doa orang ramai termasuk bantuan pihak media ALLAH SWT makbulkan doa kami.
"Ketika abang sulungnya berjaya menemuinya (Fakrullah), dia terkejut sebelum menangis sambil mendakwa cuba untuk pulang ke rumah namun terasa ‘berat," katanya.
Terdahulu, bapa berkenaan mengakui pernah menerima maklumat anaknya makan di kedai tersebut susulan hebahan media.
Takdir ALLAH, kunjungan keluarga ke kedai berkenaan pada Ahad berjaya menemukan Fakrullah yang dicari-cari.
"Semalam (Ahad) abangnya tergerak hati nak pergi ke kedai itu. Sebaik sampai di kedai berkenaan, dia nampak Fakrul," kata Nazri.
Difahamkan, sepanjang 41 hari menghilangkan diri Fakrullah keadaan sihat dan hanya makan di kedai selain tidur di beberapa premis termasuk hotel bajet.
Ujar Nazri, sehingga sekarang ini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar anggota tentera itu berbuat demikian kerana tidak mempunyai masalah dalam hubungan keluarga, teman wanita, kewangan mahupun berkaitan buli.
Menurut portal berita tempatan, keluarga mengaitkan rasa ‘berat’ dialami Faklrullah untuk pulang ke rumah berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kejadian mistik menimpanya ketika bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu. Malah difahamkan sikapnya juga pelik sejak itu.
SinarPlus terdahulu pernah melaporkan kehilangan Prebet Fakrullah yang sepatutnya kembali bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, gagal dikesan sejak 24 Jun lepas.
Beliau difahamkan keluar rumah beralamat di Tanjung Minyak pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di Kem Terendak selepas tamat tempoh bercuti dilaporkan tidak hadir bertugas selepas keluar rumah.
Menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC warna hijau, anggota tentera itu dilihat keluar dengan berpakaian baju T berkolar warna biru dan seluar coklat, selain memakai kasut sukan.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang