'Dunia ini sangat kejam.' Polis sahkan jasad tanpa kepala dan tangan milik Cikgu Istiqomah, kehilangan 8 bulan terjawab
KEHILANGAN seorang guru dikenali sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, di Pasir Gudang, Johor Disember lalu menggemparkan negara.
Hebahan tentang Cikgu Istiqomah berlegar di laman sosial oleh keluarga dan rakan-rakan yang cuba mengesan keberadaannya selepas kali terakhir kenderaannya ditemui di sebuah pasar raya di Kota Masai, Johor.
Hampir lapan bulan tidak pulang, polis mengesahkan jasad tanpa kepala dan tangan yang dijumpai dibuang di dalam tong sampah dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, pada 31 Disember tahun lalu adalah milik guru wanita berkenaan.
Berikut butirannya:
1-Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos baru-baru ini adalah sepadan.
2-Hasil ujian DNA didapati ia sepadan dengan mayat wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Pulau Sebang pada Disember tahun lalu
3-Mangsa dikenali Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang di Johor pada 23 Disember 2023.
4-Mengulas lanjut beliau berkata, susulan itu polis menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.
5-Siasatan polis ke atas kedua-dua individu tersebut telah membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.
6-Pihak polis tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer , tidak jauh dari lokasi penemuan mayat.
7-Buat masa ini, kedua-dua individu yang ditahan telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan mayat wanita ditemukan dalam keadaan menyayat hati, tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki di dalam tong sampah di longkang jalan besar Alor Gajah-Tampin.
Hanya bahagian badan ditemui dengan kepala, kedua tangan dan kaki dari paras lutut ke bawah dipercayai dipotong selain terdapat sehelai kain merah di bawah mayat.
Ketika itu, mayat yang ditemui dalam keadaan mereput dan sudah kering serta disyaki meninggal dunia antara tujuh hingga 10 hari.
Dalam hantaran berasingan, rakan-rakan guru berkenaan berkongsi berita menyedihkan selepas berita pendidik berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia.
"Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat sahabat kita. Semoga syurga tempatmu Is. Rehatlah bersama para syuhada. Dunia ini sangat kejam.
"Tiada kata mampu diungkap... Hanya deraian air mata, al-Fatihah dan Yasin buatmu sahabat.
"Syukur pencarian dan penantian keluarga sudah terjawab. Terima kasih ALLAH makbulkan doa hamba-MU dalam pencarian ini.
"Semoga tenang di alam sana wahai sahabat. Kau pergi dalam keadaan syahid, insya-ALLAH syurga buatmu. Orang balk ALLAH sayang," kongsi pengguna laman sosial, NikSyuzaili SangPri.
Salam takziah buat keluarga, al-Fatihah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang