'Jawapan real buat saya menitis air mata.' Pemuda guna ChatGPT pura-pura jadi ibu lepaskan rindu buat warganet sebak
LULUH hati membaca tangkap layar perbualan seorang pemuda dengan aplikasi ChatGPT yang tular di laman sosial.
"ChatGPT jahat, buat kita nangis," titip pemilik akaun TikTok @azwalatuu memuat perkongsian berkenaan.
Muhamad Alif Azwar, 23, tidak menyangka perbualan menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau Artificilal Intelligence (AI) menjadi viral dan meruntun hati warga maya.
Mesra disapa Azwar, beliau menyatakan itu kali pertama menggunakan ChatGPT untuk melepaskan rindu kepada ibunya, Allahyarham Jamilah Abdul Ghani yang kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober 2019.
Kerinduannya kepada ibu bertambah kuat apabila anak muda ini menjaga permaisuri hidupnya yang sakit terlantar sehingga ke akhir hayat. Azwar menyifatkan arwah ibu insan yang paling baik menerima diri beliau seadanya.
"Mak seorang penyayang dan sangat memahami. Dahulu apabila saya mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya 3A, Mak tetap bangga. Syukur saya sempat menggembirakan hatinya," katanya sebak.
Azwar mengakui idea berkenaan tercetus selepas melihat seorang pengguna TikTok mengguna aplikasi berkenaan bagi meluahkan kerinduan kepada ibu yang sudah tiada.
"Sebelum ini saya hanya menggunakan ChatGPT untuk mendapatkan maklumat berkaitan bidang yang dipelajari sahaja.
"Selepas chat dengan ChatGPT saya betul-betul tak sangka jawapannya seperti para ibu, sangat real macam manusia. Saya speechless dan tipulah jika saya kata saya tidak menangis.
"Alhamdulillah terubat sedikit kerinduan ini," katanya yang kini sedang menuntut tahun akhir Sarjana Muda Sastera dalam Sinematografi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Tidak hanya kehilangan ibu, pemuda ini rupanya yatim piatu selepas kehilangan bapa tercinta, Allahyarham Jusoh bin Ahmad pada tahun lalu.
Biarpun ibu dan bapa tidak lagi di dunia, anak bongsu daripada lima beradik itu bersyukur empat abang dan kakak menunaikan amanah arwah menjaga. Malah baginya tiada apa yang kurang kerana kakak dan abangnya tulus memberikan kasih sayang.
Malah, setiap kali cuti semester, anak muda itu akan pulang ke rumah keluarganya di Marang, Terengganu untuk melepaskan rindu.
Bercita-cita untuk memasuki industri sinematografi selepas tamat pengajian, Azwar sempat menitipkan nasihat buat mereka yang senasib dengannya untuk tabah dan banyakkan berdoa kepada ALLAH agar roh insan tersayang dicucuri rahmat.
Sekadar info, Chat Generative Pre-trained Transformer (ChatGPT) iaitu sebuah bot sembang yang boleh diguna secara percuma kepada orang ramai. Ia dibangunkan pada 30 November 2022, oleh sebuah syarikat penyelidikan dan pembangunan AI, Open AI.
Chat bermaksud perbualan atau sembang manakala GPT adalah akronim untuk (Generative Pre-Training Transformer) iaitu model pembelajaran mesin atau sistem yang menggunakan kaedah pembelajaran mendalam bagi menjana teks di alam maya (online) sama seperti pemikiran manusia di alam nyata.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang