'Telefon berdering nama My Lovely Wife, profil 2 anak kecil.' Instinct seorang isteri, saksi kemalangan menitiskan air mata sampaikan berita kematian
MENJADI saksi kemalangan maut satu pengalaman yang meruntun hati lelaki ini. Mangsa yang merupakan penunggang motosikal maut apabila bertembung dengan sebuah treler berhampiran MSU, Shah Alam, Selangor menjentik rasa pilu kepada seorang pelawak bernama Nizam Jentik Jentik.
Sayu dan menyedihkan, perkongsiannya itu tular menerima lebih 7,000 reaksi warga maya dan 5,700 share. Menjadi saksi awal, Nizam yang juga seorang arkitek cuba menyelamatkan barangan peribadi mangsa dan melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Sebak betul hari ini. Saya jadi antara terawal yang nampak dan berada di lokasi kemalangan maut. Saya turun payungkan mangsa sebab keadaan panas terik masa tu.
"Ada beberapa rider pun ada bantu kawal lalu lintas. Kami pun cuba selamatkan segala barangan penting milik mangsa seperti telefon dan dompet supaya terjaga rapi.
"Kami tak dapat hubungi waris sebab tiada nombor kecemasan tertera pada telefon. (Ini penting)," katanya.
Apabila menghubungi talian kecemasan 999, dia jujur memaklumkan mangsa sudah tiada.
Baca juga: Isteri meninggal dunia kemalangan, suami rayu orang awam kongsi rakaman ‘dashcam’
"Apabila call 999 untuk laporkan, operator tanya mangsa masih hidup atau tidak. To be honest seawal sampai saya masih nampak pergerakan di perut, tapi lepas tu terus lenyap pergerakan tu. Saya cuma jawab mungkin sudah tiada.
"Tapi katanya kalau mangsa sudah 'tiada', ukan tugas ambulans tetapi tugas polis. Jadi beberapa orang yang ada di situ membantu saya memastikan keadaan mangsa dengan memeriksa nadi dan nafas tahap kecederaan. Confirm mangsa telahpun meninggal dunia innalillahiwainnailaihirojiun," kongsinya.
Namun hal seterusnya benar-benar menyentuh hati. Beliau yang menjaga barangan peribadi termasuk telefon mangsa melihat panggilan daripada isteri arwah masuk.
"Tiba tiba telefon mangsa berdering dan tertera 'My Lovely Wife'.
Allahuakbar, masing masing tak berani angkat tapi saya gagahkan juga. Saya jawab “Assalam puan'.
"Dia membalas “Eh suami saya mana? Saya rasa tak sedap hati tu yang tergerak hati nak call.” "Satu ungkapan yang saya cukup berat dan sebak untuk khabarkan waktu tu “Puan, suami puan ada dekat dengan saya ni, dia terlibat dalam kemalangan puan”.
"Dia tanya semula “Suami saya macam mana?"
Saya hampir menangis untuk menjawab “Suami puan sudah tiada”. Saya dengar isteri mangsa tadi meraung menangis “Allahuakbar Ya ALLAH.”
"Saya terkedu dan menitiskan air mata dan kemudian menghantar mesej WhatsApp memaklumkan keadaan suaminya. Gambar profil ada anak dua orang masih kecil lagi. Allahuakbar menitik terus air mata saya," kongsi Nizam.
Kongsinya lagi, mangsa dikatakan baharu selesai hantar anaknya ke sekolah sesi petang. Namun apa yang menyentuh hati Nizam ialah, kemalangan tragis itu berlaku sekelip mata tanpa sebarang petanda.
"Allahuakbar, sekelip mata sahaja suaminya pergi meninggalkan keluarga. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan semoga isteri dan anak-anaknya dipermudahkan segala urusan. Aamiin," titipnya.
Media melaporkan kemalangan dipercayai berlaku ketika lori treler tersebut sedang membelok di selekoh. Penunggang itu yang dilihat bergerak laju kemudiannya gagal mengelak merempuh bahagian belakang lori tersebut.
Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut.
Warga maya yang turut sayu dan bersimpati dengan isteri dan keluarga mangsa menitipkan ucapan takziah. Ujar mereka:
"Instinct seorang isteri atau ibu itu biasanya betul. Salam takziah buat isteri dan keluarga mangsa."
"ALLAH memang beri keistimewaan kepada suami atau isteri satu 'instinct' yang kuat. Sama macam dulu, arwah ayah accident. Mak asyik kata call sat ayah hang ada kat mana."
"Saya banyak hadap kes seperti ini. Saya pun terkedu nak jawab bila soalan diajukan waris mangsa terutama isteri. Saya akan minta dia datang ke lokasi bawa peneman, adik atau pun sesiapa yang boleh memandu. Bila dimaklumkan suami sudah tiada, kadang-kala para isteri tak mampu terima keadaan dan blur nak buat apa. Pernah juga isteri mangsa pengsan dan nasib baik ada keluarganya di situ. Moga ALLAH permudahkan urusan keluarga ini."
"Hubungan suami isteri yang kuat, naluri kita terhadap pasangan juga kuat. Sebagai contoh pasangan ini. Apabila suaminya diuji ALLAH, isteri terus call tepat pada masanya." Takziah buat keluarga mangsa, al-Fatihah.
Sumber: Nizam Jentik Jentik
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang