'Reda jika dia sudah tiada, nak tatap wajahnya buat kali terakhir.'- Ibu saudara mangsa bot karam

No Image Caption
A
A
A

IBU saudara kepada Daud Darus @ Hamid, salah seorang mangsa bot nelayan karam di perairan Tanjung Segenting, Jumaat lalu berharap agar anak saudaranya itu ditemui secepat mungkin walau apa juga keadaan sekali pun.

Wanita yang dikenali sebagai Berlian Jumaat itu turut berkongsi situasi kesihatannya yang menghidap barah payu dara bakal menjalani pembedahan.

No Image Caption

"Saya dijangka menjalani pembedahan di HSNI (Hospital Sultanah Nora Ismail) dan berharap dia ditemui sebelum saya dimasukkan ke hospital.

"Kami tidak mengharapkan apa-apa pun, cuma nak dia dijumpai secepat mungkin. Kalau dia sudah tiada kami reda kerana ia ketentuan Ilahi, tetapi sekurang-kurangnya saya nak sangat dijumpai. Saya nak tatap wajahnya buat kali terakhir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.

Menurutnya lagi, kejadian menimpa anak saudaranya itu hanya diketahui pagi Jumaat lalu selepas beliau keluar ke pasar awam berdekatan kampung.

Katanya, sehari sebelum insiden itu, Daud datang ke rumah membawa hasil tangkapan untuk diserahkan kepadanya.

"Dalam pertemuan itu, dia beritahu mahu turun ke laut malam itu (Jumaat). Saya hanya mengiyakan dan berpesan supaya berhati-hati," katanya.

Dalam kejadian jam 6 pagi, bot dinaiki lima nelayan dilaporkan tenggelam selepas dibadai ombak kira-kira 6.8 batu nautika dari perairan Tanjung Segenting.

No Image Caption

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Dua mangsa disahkan lemas setakat ini termasuk tekong, Chiah Kah Chong, 53, yang ditemui nelayan 7 malam semalam, manakala seorang lagi mangsa ditemui 11.30 pagi tadi.

No Image Caption

Dalam pada itu, Berlian berkata, arwah menumpang kasih di rumahnya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Malah Daud yang juga anak kedua daripada lima beradik, tidak mempunyai keluarga terdekat melainkan dirinya.

"Saudara lain tinggal berjauhan, dia selalu datang rumah sama ada makan atau pun berehat. Saya anggap dia seperti anak sendiri, sebab itulah saya terasa apabila kehilangannya.

"Hari demi hari kami menanti dengan penuh harapan agar dia ditemui. Saya bercadang mahu ke pantai bagi membantu mencarinya, mana tahu dijumpai," katanya.

Sumber: Harian metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang