'16 Tahun, tiada kawan, hanya saya dan anak…'Ridzuan Ridzokumura kenang pengorbanan Akiko Okumura, kongsi rasa kehilangan isteri tercinta

No Image Caption
A
A
A

RAMADAN kali ini benar-benar menguji kekuatan jiwa pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura. Ketiadaan isteri tercinta, Akiko Okumura, yang pergi menghadap Ilahi pada Jumaat lalu, meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi dalam hidupnya dan anak mereka, Sky Taizo Okumura.

Tiada lagi gelak tawa Akiko di dapur, tiada lagi sentuhan kasih yang mendamaikan. Sunyi. Kosong. Itulah perasaan yang membelenggu hati seorang suami yang kehilangan cinta sejatinya selepas 16 tahun hidup bersama.

Dalam satu siaran langsung di TikTok, Ridzuan berkongsi betapa mendalamnya kasih sayang Akiko sepanjang hayatnya.

“Selama 16 tahun, seorang kawan pun tiada, dia cuma ada mak dia sahaja. Dia tinggalkan semua itu. Dia pergi dekat saya, dia curahkan 100 peratus, dia menghambakan diri dekat abang dan anak dia,” luahnya dengan suara yang bergetar menahan sebak.

No Image Caption



Saksi cinta

Tiada sesiapa yang boleh memahami peritnya kehilangan, kecuali mereka yang pernah merasainya sendiri. Ridzuan, biarpun berusaha untuk kuat, tidak dapat menahan emosi setiap kali melihat anaknya yang masih cuba menerima hakikat pemergian ibu tercinta.

“Tapi ALLAH ambil juga dia. Saya terima dan reda sahaja tapi bila tengok anak saya tak kuat saya juga tak kuat sangat tapi saya cuba untuk kuat,” katanya, jujur dari lubuk hati.

Jenazah Akiko telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, Selangor pada pagi Sabtu. Pemergian wanita asal Jepun itu bukan sekadar kehilangan seorang isteri dan ibu, tetapi juga seorang insan yang telah memberikan seluruh hidupnya untuk keluarga kecil mereka.

No Image Caption

Ridzuan dan Akiko mendirikan rumah tangga sejak tahun 2009. Kini, hanya kenangan yang tinggal, menjadi saksi cinta dan pengorbanan seorang wanita yang telah menyerahkan segalanya untuk insan-insan tersayang.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Akiko Okumura dan memberikan kekuatan buat Ridzuan dan Sky untuk meneruskan kehidupan. Sesungguhnya, kehilangan ini bukan mudah, tetapi kasih sayang yang ditinggalkan akan terus kekal di hati selamanya. Al-Fatihah.

Sumber: Awani

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang