'Abang ditidurkan setiap kali luka dicuci, kakak ipar hamil terpaksa jalani pembedahan akibat lompat tembok tinggi'- Mangsa letupan gas

No Image Caption
A
A
A

DI keheningan pagi Syawal kedua, ketika seluruh keluarga Muhammad Amirul Azhar dan isterinya, Nur Izzati Alia, sedang menikmati hari yang tenang, tiba-tiba kedengaran satu dentuman kuat yang memecah kesunyian. Bunyi yang membuatkan mereka terkejut — gemuruh yang bagaikan gegaran gempa bumi atau mungkin deruman pesawat yang melintas rendah.

Mereka tidak tahu apa yang berlaku. Rupa-rupanya, ada letupan gas yang berlaku di Putra Heights itu memusnahkan bukan sahaja rumah mereka, tetapi juga menghancurkan segala-galanya yang telah dibina dengan penuh usaha dan kasih sayang.

Rumah yang selama ini menjadi tempat berlindung, tempat membina kenangan, kini hanya tinggal abu dan serpihan.

No Image Caption

“Pada mulanya saya ingatkan gempa bumi, atau mungkin kapal terbang yang terhempas kerana bergegar dengan bunyi kuat, rupanya api tersebut berada di belakang rumah kami sahaja.

Tapi bila api mulai marak dan semua benda bergetar, saya rasa ini dah 'kiamat'. Jadi, saya cakap dengan ahli keluarga, kita kena lari untuk selamatkan diri.

"Alhamdulillah kerana waktu itu kami semua sudah jaga dan bapa mentua saya baru balik dari membeli roti canai untuk sarapan sekeluarga. Hanya sembilan ahli keluarga kerana ikutkan pelan asal kami semua mahu beraya ke Rembau. Tidak sangka kejadian ngeri tersebut berlaku,” cerita Amirul sambil mengingati kembali detik cemas itu.

Tanpa sempat merasai roti canai yang dibeli oleh bapa mentuanya, dalam kelam kabut, mereka terus melarikan diri. Amirul menarik tangan isterinya untuk berlari keluar daripada rumah.

Namun pegangan itu terlerai apabila wanita itu melepaskan tangan untuk berpatah balik mengambil seliparnya.

"Waktu toleh ke belakang untuk kejar isteri, namun tidak mampu berbuat demikian kerana bahang daripada api yang marak itu membuatkan saya katakan pada diri inilah 'neraka dunia'. Jadi, saya tiada pilihan untuk melarikan diri ke tempat selamat sambil bertanyakan kepada orang sekeliling tentang di mana isteri saya," kata Amirul.

Mengulas lanjut kenapa beliau memilih untuk berpatah balik semata-mata untuk mengambil selipar, dedah Nur Izzati, beliau berbuat demikian kerana tidak mampu melangkah kerana bahangnya terlalu panas.

"Waktu suami tarik tangan, saya nampak dia berlari ke arah semak, saya fikir kena pakai selipar jika nak masuk semak. Kebetulan apabila berpusing itu, saya bertemu dengan ahli keluarga lain.

"Ibu cadangkan supaya kami naik kereta, namun pada masa sama, bumbung rumah jiran jatuh depan mata. Kami terkedu di situ lalu cakap tak boleh tunggu, kena terus berlari.

"Disebabkan rumah kami sedikit berbukit, jadi kami terpaksa terjun dan melompat dari tembok yang tinggi. Saya terjatuh dan selipar tertanggal, waktu itu terpaksa berkaki ayam. Waktu pijak jalan dan nak berlari, ibarat memijak besi yang tersangat panas. Kaki melecur, kami semua melecur," ungkap Nur Izzati lagi.

Tambah beliau lagi, disebabkan bahang yang terlalu panas, membuatkan masing-masing fikir tentang diri sendiri.

No Image Caption

"Saya terpaksa tinggalkan ibu, nenek dan anak saudara yang berumur empat tahun, kami semua berpecah dan tak boleh nak tolong antara satu sama lain. Namun kami faham situasi waktu itu.

"Nenek saya yang berumur 85 tahun terjun longkang kerana terlalu panas. Mujurlah ada orang kampung yang nampak dan membantu. Tetapi sampai sekarang beliau masih menerima rawatan di hospital," ujar Nur Izzati.

Beliau juga berkongsi kecederaan yang dialaminya, iaitu melecur pada bahagian belakang dan juga kaki, menyebabkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda buat masa sekarang.

Sementara suaminya pula disahkan doktor mengalami lecuran tahap dua pada bahagian kedua belah kaki, terutama pada belakang betis, belakang leher, dan sedikit kecederaan di bahagian belakang tangan dan turut bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.

"Abang saya antara mangsa yang paling teruk kecederaan. Kelecurannya tak dapat dipastikan cuma lukanya mendalam.

"Sehinggakan dia terpaksa masuk bilik bedah untuk cuci supaya tidak menanggung kesakitan dan terpaksa ditidurkan kerana luka terlalu banyak. Namun, setakat ini keadaan abang baik dan boleh bercakap,ujar Nur Izzati.

Trauma memijak lantai

Lebih menyayat hati apabila kakak ipar Nur Izzati, yang kini sedang hamil lima bulan, perlu menjalani pembedahan untuk memastikan kandungannya tidak bermasalah.

"Waktu kejadian pada hari tersebut, kakak ipar saya terpaksa melompat dari tebing tinggi untuk menyelamatkan diri. Malangnya, tindakan itu menyebabkan rahimnya terganggu.

“Kandungannya baru lima bulan. Doktor kata kena buat pembedahan untuk menjalani pembedahan bagi memastikan semuanya selamat," kongsi wanita berusia 28 tahun itu lagi.

Lebih memilukan, anak perempuan kakak iparnya yang baru berusia empat tahun kini enggan memijak lantai selepas trauma dengan panasnya api.

“Dia tak nak turun atau pijak lantai. Mungkin dia takut atau trauma lagi dengan kepanasan yang dialami masa kejadian,” kata Nur Izzati ketika ditemu bual secara eksklusif dalam program Podcast Borak Bibir Merah.

Walaupun ujian ini sangat berat, pasangan suami isteri tersebut tetap cuba mencari kekuatan.

Mereka tahu bahawa luka ini mungkin akan sembuh, tetapi parutnya akan kekal selamanya.

Dalam masa yang sama, mereka reda dan bersyukur kerana ALLAH sentiasa mengirimkan bantuan dalam bentuk kasih sayang dari insan-insan yang prihatin.

Bagi mereka, rumah itu bukan sekadar tempat tinggal. Ia adalah lambang daripada segala usaha keras dan pengorbanan. Dibina dengan titik peluh, berbekalkan wang pencen ayah dan segala keringat yang tercurah selama bertahun-tahun.

“Rumah tu bukan sahaja tempat tinggal, ia adalah impian mak dan ayah. Mereka bina rumah itu dengan susah payah. Tapi semuanya hilang sekelip mata.

"Sebagai anak memang sedih melihat situasi tersebut. Kami reda dengan apa yang berlaku pada keluarga kami,” luah Nur Izzati penuh hiba.

“Kami cuba untuk reda, untuk terima semuanya. Tapi, kehilangan rumah ini, lebih-lebih lagi buat ibu bapa saya kerana itulah tempat yang mereka bina bertahun-tahun, membesarkan kami adik-beradik... ia terlalu perit.

No Image Caption

Tapi saya berpegang kepada nasihat ibu yang mana beliau mahu kami reda dan tetap bersyukur, kerana kami masih punya satu sama lain,” kongsi Nur Izzati dengan penuh rasa syukur dan harapan.

Sekarang, dengan segala cabaran yang mereka hadapi, pergerakan mereka sangat terhad. Nur Izzati dan suaminya terpaksa tinggal berasingan dengan keluarga yang lain kerana keadaan rumah yang musnah.

“Kami terpaksa tinggal dengan keluarga mentua, sementara ibu bapa dan adik-beradik saya tinggal di rumah abang. Untuk bertemu pun susah kerana semuanya jauh.

Tapi Alhamdulillah, kami tak bersendirian. Banyak pihak yang bantu kami termasuklah keluarga, saudara-mara, jiran, malah rakan sekerja dari Karangkraf,” ujarnya, menahan sebak.

Semoga keluarga ini diberikan kekuatan dan kesembuhan dalam setiap langkah mereka.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang