'Abang pandai berenang, tapi air terlalu deras' - Adik mangsa kepala air Sungai Klang terkejut, anak lelaki tunggu kepulangan bapa
“ABANG pandai berenang, tapi air terlalu deras…”
Itu luahan adik kepada mangsa tragedi kepala air di Sungai Klang. Kehilangan, K Suresh, 34, lebih meruntun jiwa apatah lagi ia berlaku sekelip mata.
Adiknya, K Suren, 32, yang ditemui Sinar Harian memberitahu abangnya telah bertugas di lokasi kejadian kira-kira 70 hari sebagai penyelia tapak pembinaan sebelum dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma di sini pada Isnin.
"Saya sempat hubungi abang kira-kira jam 3 petang dan dia beritahu cuaca hujan di tempatnya bertugas (lokasi kejadian)," kongsinya.
Menurut Suren, dia dikejutkan dengan kejadian yang menimpa abangnya kira-kira jam 8.30 malam apabila dihubungi bapa.
Bapa kepada seorang cahaya mata berusia enam tahun itu menetap di Rawang dan telah berkahwin.
"Abang memang pandai berenang dan ada juga mengajar orang berenang, tapi dalam situasi air deras dan yang kuat, mungkin sukar untuk dia berbuat apa-apa," katanya.

Isyarat telefon bimbit dikesan di Puchong atau Shah Alam
Dalam perkembangan berkaitan, telefon bimbit milik Suresh yang dikhuatiri hilang dikesan pada kedudukan antara kawasan Puchong atau Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, setakat ini telefon bimbit mangsa masih berfungsi.
"Telefon terbabit masih ada deringan namun kadang-kadang 'on-off' dan mengikut daripada kedudukannya (isyarat), kita dapat jangkakan ia mungkin berada di sekitar kawasan Puchong ataupun Shah Alam.
"Telefon bimbit itu diletak dalam beg, mungkin beg tu hanyut bersama dengan telefon dan mungkin bukan bersama dengan mangsa," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian di sini pada Selasa.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dijalankan sehingga 20 kilometer (km) dengan empat pasukan ditempatkan di setiap lima km sepanjang Sungai Klang hingga ke Plaza Tol Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Imbas kembali jam 5.30 petang Isnin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan melalui talian balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa berhubung satu kejadian banjir yang melibatkan mangsa.
Susulan panggilan tersebut, satu jentera bersama anggota dari BBP Titiwangsa dan balai bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah telah diarahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan.
Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali di mana 11 mangsa terdiri daripada seorang warga Malaysia dan 10 warga asing berjaya diselamatkan, manakala seorang mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa yang tidak menyedari kehadiran kepala air dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan.
Sumber: Sinar Harian 1, 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

