'ALLAH ambil, beri seiras.' Wajah teman istimewa balu Abam Bocey jadi bualan, warganet sokong layak bahagia
BALU kepada pelawak, Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah, 33, jadi perhatian netizen lagi selepas berkongsi video mesra bersama kekasihnya, Amsyar Salim, di laman sosial TikTok
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memuat naik hantaran berkongsi momen sedang menikmati sajian bersama di sebuah restoran.
Namun begitu, tumpuan utama netizen tertumpu kepada wajah Amsyar yang dikatakan memiliki rupa paras persis Allahyarham Abam.
"Aku je ke nampak pengganti arwah ni sama muka arwah versi slim, seakan akan iras," titip warganet.
Dalam ruangan komen, Hidayah mengiyakan perkara itu dan kata, sudah ramai yang cakap benda sama. Malah dia percaya, itu semua perancangan ALLAH
"Ya betul, ramai cakap muka iras arwah. ALLAH ambil arwah tapi beri muka seakan sama macam arwah. Hebat perancangan ALLAH," titipnya.
Menerusi temu ramah mStar,Hidayah mengakui bukan mudah untuknya membuka hati kepada cinta baharu.
Bagaimanapun, sikap bertanggungjawab Amsyar membuatkan hatinya terpaut.
"Saya kenal dia daripada tahun lepas lagi, dia datang ke kedai untuk beli barang-barang produk kosmetik saya. Sejak itu kami mula rapat dan saling kenal.
"Sebenarnya saya susah nak terbuka hati dekat mana-mana lelaki kerana masih sayang dengan arwah suami. Tapi bila saya tengok Amsyar ni, dia seorang lelaki bertanggungjawab. Saya suka cara dia," katanya.

Hidayah berkata, hubungan erat antara Amsyar dan anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, menjadi penanda penting dalam mempertimbangkan masa depan hubungan mereka.
"Saya susah nak terpikat dengan lelaki tetapi cara saya nak uji adalah dengan membawa anak berjumpa dengannya. Saya mahu lihat bagaimana cara layanan dia terhadap Hamzah.
"Bila saya selalu bawa Hamzah jumpa Amsyar dan tengok sendiri Amsyar sayang dekat anak saya, itu membuatkan saya tertarik kepadanya.
"Saya tanya anak saya pun dia suka dengan Amsyar. Bila anak bahagia, saya pun turut rasa bahagia," ujarnya.
Warganet rata-rata memberikan kata-kata positif buat Hidayah dan rata-rata mengakui wanita itu berhak menemui kebahagiaan.
"Bagi yang kecam Dayah, dia pun berhak bahagia.Dia pun ada hati dan perasaan,"komen Nurul Azwa.
"Langit tidak selalu mendung. Tahniah Hidayah, semoga bahagia hingga akhir nyawa. Kami tumpang gembira," kongsi Pelangi Senja.
"Awak berhak untuk bahagia Dayah. Semoga yang baik-baik untuk awak. Aamiin ya mujib," tulis Shima Ismail.
Hidayah pada Februari lalu mendedahkan dia dan Amsyar sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin.
Masih dalam fasa mengenali hati budi, kedua-duanya merancang untuk disatukan pada tahun 2026 atau 2027.
Hidayah terdahulu mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Abam pada 8 Disember 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia enam tahun.
Allahyarham meninggal dunia pada 10 Februari 2020 ketika berusia 32 tahun di kediamannya di Gombak, Selangor.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

