Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya raih 3.7 juta tontonan, rupanya ada kisah unik di sebaliknya!
SETIAP kali tiba musim konvokesyen, pasti ada satu dua momen yang menjadi perhatian ramai. Namun kali ini, bukan sekadar kejayaan akademik yang mencuri tumpuan, sebaliknya nama seorang graduan yang membuatkan netizen terkesima seketika.
Keunikan nama Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya bukan sahaja mengundang senyuman, malah mencetuskan rasa kagum sehingga meraih 3.7 juta tontonan di media sosial.
Lebih menarik, di sebalik nama panjang penuh makna itu, rupanya tersimpan kisah keluarga yang berasal daripada keturunan yang condong kepada sastera, sarat dengan nilai seni dan kehalusan bahasa.
Pernah mendapat liputan media pada majlis konvokesyen tahun lalu ketika menerima sijil Diploma Seni Reka Grafik dan Media Digital, graduan Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian) itu baru-baru ini menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103.
Menamatkan pengajian dengan kelas pertama, Aminasufi mendedahkan bahawa dia terhibur membaca reaksi pengguna di TikTok dan sudah terbiasa dengan perhatian orang ramai setiap kali namanya disebut di khalayak.
Katanya, sejak di bangku sekolah sering menerima reaksi sama daripada guru, rakan-rakan, dan orang yang baru mengenalinya.
“Memang selalu dapat reaksi yang sama apabila orang dengar nama saya. Ada yang minta saya ulang atau eja semula. Kawan-kawan buat pertandingan siapa boleh sebut nama penuh saya dalam satu nafas.
"Setiap kali peperiksaan, saya tulis nama pendek dahulu, baru tulis nama penuh jika sempat,” ujarnya.
Mengenai keunikan nama bapa, anak kedua daripada empat beradik itu menjelaskan ia adalah hasil kreativiti datuknya, Abdul Rahman @ Baharum bin Basar, 104 tahun.
Sementara itu ibu saudaranya, Atinaayati Asmaamarsita berkata, minat mendalam bapanya terhadap sastera menjelaskan cara unik pemberian nama kepada dia dan adik-beradik.
"Semua adik-beradik kami nama agak pelik. 11 orang semuanya. Bapa saya berkecimpung dalam bidang sastera, memang kreatif," titipnya.
Jelas Atinaayati, setiap nama dikaitkan dengan doa, tokoh sejarah atau elemen sastera, digabung menjadi satu nama panjang yang bermakna.
Malah setiap nama mengandungi kisah tersendiri. Kongsi Atinaayati lagi, bapanya juga mengambil sebahagian nama arwah ibu, Rasinah Nazar yang meninggal dunia pada tahun 2008.
Sumber: Kosmo
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
