'Ammar ditemui di Ampang.' Tiada unsur jenayah, anggota TUDM hilang sejak 24 Ogos selamat
BARU-baru ini berita kehilangan Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin menjadi tular. Kali terakhir dilihat semasa beriadah bersama rakan-rakan pada 23 Ogos lalu, pemuda berusia 27 tahun itu kini khabarnya sudah ditemui di Ampang, Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, kakaknya, Anis Aqilah membuat status di bio TikTok memaklumkan adiknya sudah selamat dijumpai.
"Ammar ditemui di Ampang," titipnya pendek.
Memetik Sinar Harian, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersebut ditemui pada tengah hari tadi di sebuah kediaman di kawasan Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah berhubung kehilangan anggota terbabit.
"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, menemui anggota terbabit dalam keadaan selamat, tanpa sebarang kesan kecederaan.
"Setakat ini, kami sedang meneliti punca sebenar kehilangannya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Difahamkan maklumat rasmi dijangka akan dikongsikan dalam masa terdekat.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan Muhammad Ammar dilaporkan hilang berkelah di kawasan rekreasi popular Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor pada 23 Ogos lalu.
Ammar dikatakan keluar kem pada 22 Ogos untuk menyertai Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT) TUDM Bandar Kinrara, dibenarkan pulang bersama peserta lain pada 22 Ogos lalu.
Walaupun semua peserta kursus diarahkan hadir semula pada 25 Ogos lalu, dia gagal berbuat demikian, mendorong pegawai penyelia untuk membuat laporan polis pada hari itu juga.
Menurut siasatan polis, lelaki berkenaan yang bertugas di Pangkalan Udara Subang kali terakhir dilihat di Sungai Kedondong pada 23 Ogos, kira-kira jam 4.30 petang. Itulah jejak terakhirnya sebelum segalanya menjadi tanda tanya.
Rakan sebilik kursus cuba menghubunginya pada 24 Ogos kira-kira jam 6 petang, namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan.
Satu operasi mengesan Muhammd Ammar dibuat di kawasan pusat rekreasi Sungai Kedondong tetapi gagal menemuinya.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
