Anak sayu sambut ibu pulang haji, teringat momen lambaian bapa sebelum berangkat. 'Mak kata, ayah tengah tunggu kami di syurga'

No Image Caption
A
A
A

MENYAMBUT kepulangan ibu tersayang daripada mengerjakan haji tanpa bapa di sisi tentu amat memeritkan buat keluarga. Pergi berdua, namun yang pulang hanya seorang, kembalinya seorang ayah ke rahmatullah ketika di Tanah Suci adalah di luar jangkaan.

Hal berkenaan terpaksa didepani pengguna TikTk wanie_zaidie8510 yang sempat berkongsi momen menjemput bonda tercinta di lapangan terbang bersama keluarga dengan menerima kenyataan bahawa susuk bapa, Allahyarham Abd Manaf Hanafiah, 65, mereka sudah tiada.

Menerusi hantaran yang dikongsikan, wanita itu meluahkan rasa syukur apabila ibunya selama sampai dan mendakap anak-anak selepas hampir sebulan lebih berada di Tanah Suci.

"Alhamdulillah, emak sihat dan baik-baik sahaja. Cuma ada sedikit batuk-batuk.

"Mental dan fizikal mak kuat. Mak juga hebat macam ayah. Mak kata ayah tengah menunggu kami semua di syurga,” tulisnya.

No Image Caption

Meluahkan kesedihan kehilangan bapa tercinta, Wanie teringat momen lambaian ketika berangkat ke Tanah Suci pada 12 Mei sebelum menerima khabar bapanya meninggal dunia pada 13 Jun 2024 akibat serangan jantung di Hospital Makkah Medical Centre.

"Berehatlah ayah. Kami anak-anak ayah dah reda dan ikhlas. Pemergian ayah dalam keadaan sangat mulia. Pergi pada hari Tarwiyah, Jumaat penghulu segala hari di Tanah Suci dan dikebumikan juga di Makkah.

"Kematian yang amat dicemburui oleh segenap makhluk di muka bumi ini.

"6 Jun 2024 mak menghantar mesej menyatakan ayah tidak sedarkan diri. Kami anak-anak di Malaysia terus mengadakan bacaan Yassin dan solat hajat untuk ayah. Setiap hari dan malam tanpa henti. Doktor maklumkan ayah sangat kritikal dan tidak memberi sebarang harapan.

"13 Jun 2024, selepas Maghrib, ayah menghembuskan nafas terakhir di Makkah Medical Centre. Setelah seminggu bertahan, akhirnya ayah pulang ke negeri abadi. Kami semua di Malaysia cuba untuk kuat. Kami terima dengan ikhlas qada dan qadar ALLAH," kongsinya.

No Image Caption

Baca juga: 'Al-Fatihah sayang.' Jemaah haji kongsi catatan pilu isteri meninggal dunia kerana pendarahan otak 4 hari sebelum wukuf

Baca juga: Sedihnya! Bapa meninggal 15 minit sebelum naik pentas konvo, gadis gagahkan diri menangis terima skrol

Baca juga: Norreen Iman kongsi berita duka ayah meninggal dunia, reda pertemuan pertama & terakhir. 'Doa depan Kaabah ALLAH makbulkan'

Reda dengan ketentuan yang tertulis, Wanie meluahkan rindu figura ayahnya.

"20 Jun 2024 genap seminggu juga ayah tinggalkan kami, masih seperti mimpi. Dalam hati masih berharap ayah akan balik dengan emak minggu depan namun sebaliknya yang berlaku.

"Ya ALLAH, kuatkan hati kami untuk menerima kenyataan ini seumur hidup kami. Bukan tidak reda tetapi hati kami hanya rindu," titipnya.

Wanie juga merakamkan penghargaan buat para doktor yang merawat dan para petugas menyantuni orang tuanya di sana.

No Image Caption

"Terima kasih juga kepada adik beradik dan kenalan ayah emak di sana banyak sangat mmbantu ketika emak seorang diri di sana.

Kepada pihak pengurusan Tabung Haji, terima kasih di atas pengurusan dan perkhidmatan yg amat cemerlang. Kalian semua hebat," katanya.

Mengakui sebak hingga menitiskan, wanita itu berazam untuk membahagiakan ibunda tercinta.

"Walaupun mak nampak kuat secara fizikalnya kami semua tahu emak berusaha melawan dengan emosi.

"Mak jangan risau, kami enam beradik akan jaga dan pertahankan mak. Sumpah, kami sayang mak. Tiada sapa yang boleh menyakiti mak selagi ada kami di sisi. Kini, kami hanya ada mak.

"Semoga ALLAH permudahkan perjalanan hidup kita tanpa ayah di dunia ini. Semoga semuanya baik dan indah-indah sahaja. Insya-ALLAH. Hasbunallah wanikmal wakill," kongsinya.

Warganet turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan ahli keluarga yang ditinggalkan terus kuat dalam menempuh kehidupan yang akan datang.

Sekadar rekod, musim haji pada kali ini telah mencatatkan lebih 550 jemaah dari seluruh dunia meninggal dunia berikutan suhu ekstrem yang mencengkam Tanah Suci Makkah.

Bagi jemaah Malaysia, seramai 14 kematian. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berikut senarai 14 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci bagi musim haji 1445H2024M dan punca kematian mereka.

1. Abnil Hajar Ismail, 72 tahun (pembuluh darah pecah)

2. Mohd Zahir Ismail, 58 tahun (serangan jantung)

3. Ghazali Ahmad, 71 tahun (kegagalan buah pinggang)

4. Noormadiah Mat Ali, 53 tahun (pembuluh darah tersumbat)

5. Zuraida Mohd Haris, 37 tahun (pendarahan otak selepas koma enam hari)

6. Baharuddin Mohd Shood, 75 tahun (kanser usus, merebak ke hempedu)

7. Abdul Manaf Hanapiah, 65 tahun (serangan jantung)

8. Sapiah Jalil, 66 tahun (serangan jantunng)

9. Bawi Solek, 79 tahun (serangan jantung)

10. Raksan@Hassan Matasil, 74 tahun (serangan jantung)

11. Madon Mohamed, 71 tahun (paru-paru berair kerana masalah kegagalan jantung)

12. Roba'ayah Yusoff, 71 tahun (serangan jantung)

13. Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74 tahun (serangan jantung)

14. Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54 tahun (jangkitan kuman pada darah)

Al-Fatihah.

Sumber: TikTok, Astro Awani, Sinar Harian

;

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang