Aplikasi tunjuk arah buat hal, warga emas terkandas dalam ladang sawit terbiar. ' Ayah hanya ikut, tak lihat...'
HASRAT seorang warga emas yang mahu pulang ke rumah dengan cepat tanpa terperangkap dalam kesesakan bertukar menjadi detik mencemaskan, apabila aplikasi penunjuk arah yang dipercayainya selama ini membawanya sesat ke kawasan sunyi tanpa sebarang penunjuk arah.
Baru-baru ini, seorang warga emas berdepan detik cemas apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya tiba-tiba terkandas dalam lumpur di tengah ladang kelapa sawit terpencil berhampiran kawasan Benta, Pahang.
Tanpa sedar, Pauzi Ismail terus memandu mengikuti laluan yang disarankan oleh aplikasi tersebut tanpa curiga akan jalan yang dilaluinya yang semakin lama semakin sunyi dan gelap.
Difahamkan, warga emas berusia 70 tahun itu memandu seorang diri dari Gua Musang, Kelantan menuju ke rumahnya di Bandar Penawar, Johor pada Khamis lalu, iaitu beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Malangnya, laluan yang disangka ‘jalan pintas’ itu telah membawanya jauh ke dalam kawasan ladang sawit lama yang sunyi dan terasing daripada jalan utama serta penempatan penduduk.
Menceritakan semula kejadian itu, anak sulungnya, Jurasmadi Pauzi berkata, kejadian berlaku pada Syawal keempat ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dengan menaiki dua buah kereta berasingan.
"Ayah beritahu dia hanya ikut sahaja, tanpa melihat sekeliling..." ujar Jurasmadi.
Pada hari kejadian, lelaki itu menaiki kenderaan bersama ibunya, manakala ayah mereka memandu bersendirian ke Hospital Gua Musang untuk melawat adiknya yang sedang menerima rawatan.
Namun, ketika dalam perjalanan pulang, mereka yang sepatutnya bergerak bersama terpaksa berpecah akibat kesesakan lalu lintas dan terpisah di pertengahan jalan.
Tidak lama selepas itu, kejadian bertukar cemas apabila Jurasmadi menerima panggilan daripada sepupunya sekitar jam 6 petang yang memaklumkan bahawa bomba Pahang menghubunginya kerana Pauzi dilaporkan sesat dalam ladang sawit dan gagal mengesan lokasi sebenar.
“Saya dan adik cuba menghubungi ayah dan meminta dia berkongsi lokasinya menggunakan telefon bimbit, namun ayah tidak tahu cara untuk melakukannya.
“Mujur selepas menyedari tersesat, ayah membuat panggilan kecemasan 999 dan ketika itulah baru kami mengetahuinya selepas bomba menghubungi sepupu,” katanya.
Jurasmadi berkata, mereka berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan lokasi sebenar bapanya namun gagal kerana ayahnya tidak dapat memberikan sebarang petunjuk jelas seperti nama jalan atau mercu tanda.
“Ayah beritahu dia hanya ikut sahaja arah Waze yang ditunjukkan itu tanpa melihat sekelilingnya,” katanya.
Walaupun tidak mahir dengan teknologi, akhirnya warga emas itu berjaya menghantar lokasinya, meskipun agak kurang tepat.
Dengan bantuan pihak polis dan penduduk kampung yang bersedia turun padang, mereka akhirnya berjaya mengesan tempat warga emas itu terkandas.
Bagaimanapun, penduduk kampung memaklumkan bahawa kawasan ladang sawit itu sudah lama terbiar dengan pokok-pokok yang tinggi dan terlalu tua.
“Dengan bantuan penduduk kampung yang masuk ke ladang kelapa sawit itu menunggang motosikal, akhirnya berjaya menemui ayah jam 10.02 malam,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
