Ridzokumura terkilan, duit arwah isteri hilang dalam rumah. ‘Tak elok ambil duit orang yang sudah pergi’

SELEPAS berita pemergian arwah isterinya, nama usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzokumura atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib sekali lagi menjadi sebutan ramai apabila beliau mendedahkan sejumlah wang milik arwah Akiko hilang, dianggarkan sekitar RM60,000 hingga RM70,000.
Mendedahkan hal itu menerusi satu siaran langsung yang dibuat di platform TikTok, beliau menyedari kehilangan wang itu baru-baru ini dan mengesyaki ia diambil oleh individu dalam kalangan yang pernah berada di rumahnya.
"Sampai hati, duit orang meninggal pun hendak ambil.
"Bukan orang luar, tetapi orang sekeliling saya kerana yang datang pun kawan-kawan, polis, doktor, forensik dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, Ridzokumura enggan menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak secara langsung berhubung kejadian itu.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa, salah saya kerana tidak menyimpan duit itu. Orang yang mengambilnya memang salah... salah dia dengan arwah dan Tuhan.
"Tidak elok ambil duit orang yang sudah pergi, terkilan saya. Biarlah orang itu jawab dengan Tuhan... kalau arwah tidak memaafkan, maka tidak maaflah dia," ujarnya.

Menurutnya, wang tersebut merupakan lebihan simpanan selepas mereka pulang dari Jepun sekitar Februari lalu dan disimpan dalam dua sampul tebal di dalam beg isterinya.
"Selepas daripada itu, memang saya tidak usik duit itu. Dua tiga hari lalu baru saya sedar.
"Duit bukan sedikit, saya anggarkan dalam RM60,000 hingga RM70,000. Itu apa yang saya nampak," katanya.

Tambah Ridzokumura, beliau juga tidak pasti sama ada aksesori atau barang perhiasan lain turut hilang.
Jelasnya, kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya mengalami kerosakan, menyebabkan individu yang mengambil wang itu gagal dikenal pasti.
Sebelum ini, Allahyarham isterinya, Akiko Okumura, meninggal dunia pada 28 Februari lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya.
Ridzokumura percaya arwah mungkin tergelincir dari tingkap ketika mengemas rumah, satu kebiasaan yang sering dilakukan menjelang bulan Ramadan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang