'Awak perpisahan yang saya relakan demi Tuhan...' Lelaki luah rasa sebak, lembu kesayangan akan ditumbangkan demi tuntutan agama
SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, ia adalah lambang ketaatan dan simbol pengorbanan seorang hamba kepada Sang Pencipta.
Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Hari Raya korban yang bakal disambut pada 7 Jun depan, tersimpan kisah menyentuh hati telah mencuri perhatian warganet baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Khairul Johari memuat naik coretan meruntun jiwa bersama lembu peliharaannya yang akan dikorbankan bagi melaksanakan amalan sunat yang dianjurkan di dalam Islam.
Lelaki itu mengakui bahawa, membela haiwan bukan lagi perkara asing buatnya, namun dia berkongsi pengalaman memelihara lembu kesayangan itu ternyata jauh berbeza.
Katanya lagi, walaupun haiwan itu tidak mampu berkata-kata atau meluah rasa, namun tingkah lakunya yang jinak dan kehadirannya yang setia di sisi sudah cukup membuatkan hati Khairul berasa tenang dan damai.
“Saya pernah bela banyak haiwan, tapi awak (lembu) lain. Awak tak pernah berbicara tapi awak selalu buat saya rasa difahami.
“Dalam diam awak, saya jumpa ketenangan yang manusia jarang beri. Saya pernah duduk di sisi awak waktu langit gelap, waktu jiwa saya serabut, waktu hidup saya sempit.
“Saya tak perlu bercakap banyak. Saya cuma letak tangan atas kepala awak dan entah kenapa, saya rasa dunia jadi perlahan. Nafas saya jadi dalam.
“Macam awak, seekor lembu, sedang ajar saya cara untuk hidup perlahan-lahan. Awak tak pernah cakap “saya sayang awak”. Tapi awak tunjuk dalam seribu cara.
“Bila saya datang ke kandang, awak paling dulu datang. Bila saya sakit, awak pandang saya lama-lama, tunduk kepala dekat lutut saya,” tulisnya.
Dia yang bertugas sebagai jururawat lelaki di unit nefrologi berkata, lembu ternakannya itu seolah memahami takdir yang bakal menyusul untuk ditumbangkan demi tuntutan ibadah tuannya.
“Bila saya menangis diam-diam waktu suap awak makan, awak tenung saya macam awak tahu, awak tak akan lama.
"Saya mula sayang awak bukan sebab awak besar, cantik, jinak. Saya mula sayang awak sebab awak jadi tempat saya belajar erti reda,” jelasnya," luahnya.
Pemilik Khairuol Agro Farm itu memberitahu, dia terpaksa akur dengan perpisahan tersebut dan berharap pengorbanan yang dilakukan dilihat oleh ALLAH ketika berada di Padang Mahsyar kelak.
“Awak perpisahan yang saya relakan demi Tuhan saya. Saya tahu awak tak faham apa itu pengorbanan tapi bila awak rebah nanti, saya percaya awak akan bawa cinta saya kepada Tuhan, dalam bentuk darah dan takbir.
“Saya takut hari itu. Saya takut tengok awak jatuh. Tapi saya tahu ada cinta yang paling tulus bukan dalam memiliki, tapi dalam melepaskan.
“Saya lepaskan awak bukan sebab saya tak sayang. Saya lepaskan awak sebab awak terlalu saya sayang. Saya harap awak tunggu saya. Sebab di Padang Mahsyar nanti, bila semua amalan saya terlalu kotor untuk diangkat Saya cuma nak ada satu saksi.
“Datang dari arah kanan yang akan kata, dia pernah lepaskan saya demi Tuhan, dia pernah menangis untuk reda. Saya datang hari ini untuk bantu dia melintas ke syurga,” tambahnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, hantaran yang meraih lebih 6,000 perkongsian itu dibanjiri reaksi warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak. Ramai tersentuh dengan kisah kasih sayang Khairul terhadap lembu peliharaannya yang dianggap lebih daripada sekadar haiwan ternakan.
Tidak kurang juga yang berkongsi pandangan bahawa erti sebenar pengorbanan itu lebih mendalam apabila kita rela melepaskan sesuatu yang amat disayangi.
Selamat Hari Raya Aidiladha!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
