Kejam! Aniaya anak kucing hingga mati, polis siasat tiga kanak-kanak
KEBELAKANGAN ini, semakin banyak isu penganiayaan haiwan yang tular di media sosial.
Antaranya termasuk kes seorang lelaki warga emas yang menyembur cat pada seekor monyet, dan terbaharu, insiden menyayat hati melibatkan seekor anak kucing yang didera sehingga mati oleh tiga orang kanak-kanak.
Kejadian itu berlaku di kawasan perumahan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan telah mencetuskan kemarahan warganet selepas video rakaman kejadian dikongsikan oleh pemilik kucing berkenaan.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, kelihatan tiga kanak-kanak dipercayai mengambil anak kucing itu di hadapan sebuah rumah sebelum membawanya pergi.
Pemilik haiwan tersebut mula menyedari kehilangan kucing peliharaannya dan bertindak meneliti rakaman CCTV.

Dia kemudiannya memohon bantuan penduduk setempat untuk menjejaki kanak-kanak terbabit. Malangnya, hasil pencarian menemui anak kucing tersebut dalam keadaan sudah mati, dipercayai akibat ditinggalkan dalam bekas tertutup.
Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis sedang menjalankan siasatan berkaitan insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pemilik kucing berkenaan yang mendakwa haiwan itu dianiaya hingga mati.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai melibatkan tiga kanak-kanak lelaki berusia antara lima hingga 11 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, masyarakat dinasihatkan agar tidak memandang ringan isu penganiayaan terhadap haiwan kerana tindakan zalim sebegini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak berperikemanusiaan, malah turut melanggar undang-undang.
“Orang ramai digesa segera melaporkan sebarang kejadian penganiayaan haiwan kepada pihak berkuasa agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pelaku,” ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
