Cikgu E lawan tiga kanser, tetap kuat demi lima anak dan isteri- 'Saya hanya mahu terus bernafas'

No Image Caption
A
A
A

DI sebalik senyuman yang masih terukir, tersembunyi perjuangan besar dalam diri seorang bekas guru, Nassry Mardee Ismail atau lebih mesra disapa Cikgu E.

Walaupun hanya 30 peratus saluran pernafasannya masih berfungsi, semangat juangnya tidak pernah padam.

Setiap hela nafas yang masih tersisa dijadikan kekuatan untuk terus hidup demi isteri dan lima anak yang menjadi nadi kehidupannya.

“Saya dah reda, tapi bukan menyerah kalah,” katanya dengan nada tenang ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.

No Image Caption

Sejak Mac 2024, lelaki berusia 45 tahun itu berjuang melawan tiga jenis kanser serentak — kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru tahap empat.

Walaupun kini keadaannya semakin kritikal, Cikgu E tetap bertekad untuk terus melawan.

Dia hanya mampu duduk sepanjang masa dan bergantung kepada bantuan oksigen, namun tidak sesekali membiarkan penyakit itu meragut semangatnya.

Sebelum diuji dengan penyakit, Cikgu E merupakan seorang atlet dan pelari maraton yang aktif.

Dahulu dia mampu berlari sejauh 10 kilometer dengan pace empat, tetapi kini untuk ke bilik air pun memerlukan bantuan.

Namun, dalam kelemahan itu tersimpan kekuatan luar biasa.

“Saya hanya fikir mahu bernafas. Itu sahaja,” katanya penuh makna.

No Image Caption

Selepas meninggalkan dunia perguruan pada tahun 2012, Cikgu E pernah mengusahakan kedai fotografi.

Namun selepas disahkan menghidap kanser, semua perniagaan terpaksa dihentikan dan kehidupannya kini bergantung sepenuhnya pada rawatan serta bantuan keluarga.

Isterinya, Azlina Mohd Ali, 45, yang juga seorang guru, menjadi tulang belakang utama dalam perjuangan ini.

Beliau menggunakan kemudahan Jaminan Kerajaan (GL) untuk menampung kos ubat-ubatan kanser di hospital kerajaan.

Lebih menyentuh hati, anak bongsu mereka, Nassrul Hafeez yang baru berusia lapan tahun, sanggup berhenti sekolah agama sesi pagi untuk menjaga ayahnya di rumah.

“Kadang saya rasa bersalah, tapi bila tengok anak-anak tetap tersenyum, saya tahu saya kena terus kuat,” luahnya.

No Image Caption

CABARAN BESAR

Kini, rawatan yang perlu dijalani Cikgu E bukan calang-calang. Kos keseluruhan double immunotherapy yang dianggarkan melebihi RM500,000 menjadi cabaran besar buat keluarganya.

Perlindungan takaful sebanyak RM300,000 sudah habis digunakan, dan mereka masih kekurangan kira-kira RM200,000 untuk meneruskan rawatan.

Setiap kitaran rawatan bernilai RM29,424 dan perlu dilakukan setiap tiga minggu, dengan jumlah keseluruhan 17 kitaran.

Namun, angka besar itu tidak mematahkan semangatnya.

“Kalau kita fikir tentang mati, kita akan lemah. Tapi bila ingat pada keluarga, saya reda.

"Saya nak hidup untuk mereka,” katanya lagi.

Walaupun tubuhnya semakin lemah, Cikgu E masih mengekalkan sikap ceria dan suka bergurau.

No Image Caption

Katanya, dia tidak mahu rakan-rakan yang datang menziarah merasa sedih.

“Kalau boleh, biarlah mereka balik dengan semangat baharu, bukan dengan air mata,” ujarnya lagi.

Kini, setiap hari baginya adalah perjuangan untuk terus bernafas. Dan di sebalik segala kesakitan, kasih keluarga menjadi ubat paling berharga yang memberi kekuatan untuknya bertahan.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban Cikgu E dan keluarganya, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 558220621223 (Nassry Mardee Ismail).

Kerana bagi Cikgu E, setiap hela nafas yang masih berbaki adalah tanda bahawa perjuangannya belum berakhir dan selagi hayat dikandung badan, dia akan terus berjuang untuk hidup.

Sumber: Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang