D*b*r Zayn Rayyan ada koyakan disyaki objek tumpul, daun pulai dalam saluran bronkus & perut. 'Pokoknya 10 meter dari lokasi...'
PERBICARAAN kes pembunuhan tragis kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin terus menjadi perhatian ramai. Satu-persatu penemuan kes yang meruntun hati.
Perbicaraan hari ke-17 kes pengabaian Zayn Rayyan oleh ibu bapaya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, diteruskan. Pendedahan saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Hafizee Ismail mengetengahkan kecederaan yang didapati pada jasad anak istimewa itu.
Sukar untuk membayangkan akhir hayat Zayn Rayyan, namun fakta dikemukakan pegawai penyiasat kanan bahawa terdapat tumbuhan daun jenis pulai dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut kanak-kanak cukup menyayat hati.

Bukan sekadar itu, siasatan awal mendapati ada kesan kecederaan koyakan baharu di dubur, dipercayai menggunakan objek tumpul namun sampel calitan dari dubur si mati mendapati, tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing.
Berikut fakta disusun daripada laporan portal media tempatan:
1-Mohd Hafizee berkata laporan awal daripada ahli kimia yang mengesahkan objek asing dalam bronkus si mati adalah daun pokok pulai.
2-Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat pokok pulai tumbuh berhampiran lokasi penemuan mayat, kira-kira pada jarak 10 meter.
3-Dalam keterangan lebih lanjut, Mohd Hafizee memaklumkan beliau menghadiri bedah siasat pada 7 Disember 2023 di Hospital Sungai Buloh selepas dimaklumkan tentang kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
4-Menurutnya, antara kecederaan yang dilihat ialah telinga kiri Zayn dalam keadaan terkulai, kesan toreh pada lengan kanan, dan koyakan pada dubur yang dipercayai akibat objek tumpul.

5-Jasad Zayn juga didapati lebam di dahi, leher, dada, rahang dan beberapa anggota badan lain.
6-Punca kematian disahkan oleh pakar forensik, Dr Siti Rohayu sebagai ‘ligature strangulation’ iaitu jerutan menggunakan objek.
7-Susulan itu, Mohd Hafizee membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengetuai pemeriksaan di rumah keluarga si mati di Apartment Idaman, Damansara Damai.
8-Kata beliau lagi, semasa pemeriksaan, sepasang kasut sekolah berwarna hitam yang dipenuhi kesan lumpur ditemui di dalam bilik pertama berhampiran peti ais.
9-Selain itu, terdapat juga barang-barang lain termasuk stokin, lampin dan sampel tanah turut dirampas untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
10-Mohd Hafizee turut memaklumkan Unit K9 PDRM dikerahkan untuk penjejakan berdasarkan baju milik Zayn Rayyan, namun operasi sejauh 500 meter dari kawasan tangga hingga ke anak sungai tidak menemui sebarang kesan yang signifikan.
11-Beliau juga mendedahkan, calitan DNA yang diambil dari dubur mangsa hanya padan dengan DNA Zayn Rayyan sendiri dan tiada DNA asing dijumpai.
12-Saksi turut menerima dan menyemak beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pihak pengurusan apartment yang merakamkan kelibat seorang kanak-kanak memakai baju putih pada 5 Disember 2023 iaitu hari Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
13-CCTV menunjukkan kanak-kanak itu berjalan di saluran air dan berpatah balik keluar dari terowong.
14-Tambah beliau lagi, pelbagai item termasuk pendrive mengandungi rakaman CCTV, bulu kucing, pakaian dan telefon bimbit milik tertuduh turut dihantar untuk analisa forensik.
15-Katanya, sampel bulu kucing yang dianalisis tidak sepadan dengan yang ditemui pada pakaian si mati.

16-Dalam pada itu, beberapa sesi lakonan semula turut dilakukan, termasuk oleh tertuduh wanita, Ismanira Abdul Manaf, di lokasi sekitar Apartment Idaman dan rumah lain yang dikaitkan.
17-Terdahulu, doktor yang membedah siasat Zayn Rayyan, Pakar Perubatan Perunding Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan juga memberitahu ada juga kesan lebam di dahi, belakang badan, lengan, dada, pipi, mata, bibir dan rahang.
18-Dr Rohayu meninjau lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan, di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, beliau mendapati kecederaan kanak-kanak itu tidak selari dengan keadaan sekitar sungai berkenaan dan menyimpulkan kes berkenaan bukan mati kerana lemas, berikutan ada kesan guntingan di telinga dan luka tajam di lengan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf adalah orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) dan telah didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama di sini antara jam 12 tengahari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Imbas kembali, mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring berhampiran anak sungai berdekatan sehari selepas dilaporkan hilang.
Kanak-kanak autistik itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya akibat mempertahankan diri.
Sama-sama kita doakan pembunuh Zayn akan diberikan hukuman yang setimpal.
Sumber: Malaysa Gazette, Sinar Harian, Buletin TV3
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
