Dera amah hingga bawa kematian, finalis MasterChef Malaysia & bekas suami dipenjara 34 tahun
PERNAH muncul dalam rancangan realiti TV, peserta peringkat akhir MasterChef Malaysia Musim kedua, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, dan bekas suaminya, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 44, dijatuhi hukuman penjara selama 34 tahun selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka empat tahun lalu.
Difahamkan, Mohammad Ambree Yunos dikenakan hukuman 12 sebatan manakala Etiqah dikecualikan daripada hukuman itu secara mandatori atas faktor jantina mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.
Etiqah dan bekas suami didapati bersalah membunuh, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, yang bekerja sebagai amah di sebuah kondominium di Penampang antara 8 hingga 11 Disember 2021.
Pihak pendakwaan telah membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah, manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan.

Kata Hakim, pihak pendakwaan berjaya membuktikan secara jelas elemen-elemen penting termasuk mangsa meninggal dunia akibat kecederaan; kecederaan tersebut dilakukan oleh tertuduh dengan niat mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan; dan kedua-duanya bertindak dengan niat bersama.
Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah menegaskan bahawa walaupun kedua-dua peguam bela mengemukakan rayuan secara bersungguh-sungguh, namun kekejaman yang dialami oleh mangsa tidak boleh diabaikan.
Mahkamah turut mengambil kira jenis kecederaan serta cara ia dilakukan dalam tempoh masa yang panjang.
Terdahulu, media melaporkan mayat Nur Afiyah didapati cedera di seluruh badan termasuk kesan melecur.
Kedua-dua tertuduh terdahulu disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Etiqah muncul dalam masakan MasterChef Malaysia Musim Kedua yang ditayangkan pada tahun 2012.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
