'Ditemui dekat pintu van, mungkin nak keluar tapi tak dapat...', Murid tadika maut tertinggal dalam van 5 jam, keluarga mahu keadilan

No Image Caption
A
A
A

"ANAK saya ditemui sudah tidak bernyawa di bahagian pintu van, mungkin hendak keluar tetapi tidak dapat."

Demikian luah pilu bapa, Teo Jia, 37, yang terpaksa menerima kenyataan cahaya mata tunggalnya, Yu Zie sudah tiada.

Segalanya berlaku selepas anak kecil itu dipercayai ditinggalkan di dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Memaklumkan jasad Yu Zie ditemui tidak sedarkan diri pada bahagian pintu van, lelaki itu mengesyaki anaknya telah cuba menyelamatkan diri.

“Mungkin anak saya tertidur ketika itu, pemandu van mungkin tidak menyedarinya.

"Kira-kira jam 12 tengah hari anak saya ditemui sudah tidak bernyawa," luahnya.

Artikel berkaitan:

PATUT PERIKSA BETUL-BETUL - BAPA

Sedih dengan apa yang terjadi, beliau sempat mengimbas kembali kronologi kejadian dan memaklumkan menerima panggilan daripada guru tadika kira-kira jam 1 tengah hari dan memintanya dan isteri segera ke sebuah hospital swasta.

“Cikgu telefon suruh saya dan isteri datang segera ke hospital swasta berhampiran rumah kerana anak dalam kecemasan.

“Apabila sampai, anak saya sudah terbaring kaku. Doktor cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Yu Zie yang merupakan satu-satunya anak kami,” katanya.

Kongsinya lagi, Yu Zie menaiki van dari rumah mereka di Taman Bukit Indah pada jam 7.15 pagi dan mengikut kebiasaanya si kecil itu akan tiba di tadika sekitar jam 8.15 pagi.

“Saya kecewa, sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan semua budak turun dahulu sebelum boleh tutup pintu atau beredar,” katanya.

Dalam pada itu, bapa mangsa juga terkilan dengan pihak tadika dan mendakwa pihak berkenaan gagal memantau kehadiran murid dan tidak menghubungi ibu bapa lebih awal.

“Kalau budak tak datang, tadika patut semak kehadiran dan hubungi ibu bapa. Ini semua kecuaian. Saya tak mahu perkara ini terjadi kepada anak orang lain,” ujarnya.

Difahamkan, mendiang dihantar ke tadika berkenaan sejak berusia dua tahun dan mula menggunakan perkhidmatan van sekolah sejak pertengahan tahun lalu.

Bapa berkenaan berharap siasatan terperinci dilakukan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab agar insiden tragis itu tidak berulang.

No Image Caption

HAMPIR LIMA JAM TERPERANGKAP

Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, Mangsa dipercayai tertinggal di dalam van sekolah itu ketika pemandu van menurunkan pelajar di hadapan sekolah pada hari sama, kira-kira jam 7.30 pagi.

Si kecil itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

Pemandu van sekolah berkenaan Lyang berusia 56 tahun itu ditahan di sekitar Taman Bukit Indah di sini, 2.40 petang semalam.

Suspek tidak mempunyai rekod lampau, negatif dadah dalam ujian saringan air kencing dan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan.

Jasad si kecil itu dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang