Dua beradik pergi selamanya dalam tragedi Sungai Linggi, saksi menangis hiba: 'Pakcik minta maaf tak dapat selamatkan...'
TIADA siapa menyangka peristiwa yang singkat di tepi sungai mampu meninggalkan luka yang begitu dalam.
Hanya seminggu mengenali dua beradik itu, namun kasih yang tumbuh dalam hati Ade Mos, 47, bagai kasih seorang ayah terhadap anak kandungnya sendiri.
Hari pengebumian menjadi saksi betapa air matanya tidak berhenti mengalir. Dari saat jenazah dimasukkan ke liang lahad hinggalah doa dibacakan, tangisannya menggambarkan kehilangan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
Wajahnya jelas menunjukkan rasa terkilan kerana gagal menyelamatkan dua insan kecil yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Ade masih terbayang pertemuan pertama dengan keluarga kecil itu di Sungai Linggi, Tanjung Agas. Dia sering melihat mereka memancing, malah sempat bertegur sapa dengan bapa mangsa.
Namun yang paling diingati ialah keletah anak perempuan lelaki tersebut yang petah bercakap, manja, banyak bertanya dan membuatkan suasana sekeliling jadi ceria.
“Yang perempuan itu terlalu ceria, terlalu manja. Petah bercakap, banyak bertanya… sampai saya rasa macam dia anak saya sendiri,” katanya dengan wajah pilu.
Bagi Ade yang bekerja sebagai buruh, keakraban itu hadir tanpa dipaksa. Walaupun hanya beberapa hari berkenalan, kehadiran kanak-kanak perempuan itu cukup meninggalkan kesan mendalam.
Sementelah, nama arwah hampir sama dengan nama anak perempuannya yang kini berusia 10 tahun. Itu membuatkan hatinya lebih cepat tersentuh dan kasih sayang seakan mengalir secara semula jadi.
“Dia punya manja dan keletah itu membuatkan saya teringat-ingat. Disebabkan itulah walaupun perjumpaan saya dengan dia singkat, bagi saya ia sangat mendalam,” luahnya lagi.
Namun Ade tidak dapat melupakan detik cemas sewaktu kejadian. Dia berada di lokasi dan cuba sedaya upaya membantu.
Memetik laporan Sinar Harian, lelaki itu mengakui, kudratnya hanya mampu menyelamatkan seorang wanita yang turut berada di dalam kereta.

Dua beradik itu, dia gagal capai. Rasa terkilan itu tidak pernah padam, malah menghantui dirinya hingga ke hari ini.
“Pak cik minta maaf tak dapat selamatkan, pak cik cuba, tapi tak boleh,” katanya dalam nada pilu.
Sejak hari kejadian, fikirannya tidak pernah lekang memikirkan dua kanak-kanak itu. Dia menunggu penuh debar bila jenazah akan dikebumikan. Saat mendapat panggilan daripada polis yang memaklumkan tarikh dan masa, Ade tanpa berfikir panjang terus hadir.
“Saya nak tengok mereka buat kali terakhir… walaupun hati saya masih ralat kerana tak dapat selamatkan,” katanya dengan nada penuh penyesalan.
Suasana di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah pada petang Selasa 9 September lalu cukup hening. Kira-kira jam 5.30 petang, dua beradik berkenaan selamat disemadikan.

Namun tiada waris atau ahli keluarga yang hadir. Yang ada hanyalah penduduk kampung, anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), polis, serta Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udian dan timbalannya.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udian dan Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib.
Bapa mangsa yang kini direman turut dibawa polis ke tanah perkuburan. Namun dia hanya duduk di dalam kereta tanpa turun menziarahi pusara, sebelum dibawa pergi semula.
Difahamkan, lelaki berusia 46 tahun itu sempat melihat jenazah anak-anaknya buat kali terakhir di hospital sebelum pengebumian.
Apa yang paling meruntun jiwa, walaupun tiada ikatan darah, Ade hadir dengan kasih yang begitu tulus.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

