'Dunia ini palsu...'- Sempat tulis nota sebelum tikam senior, pelajar tiada masalah mental, didorong emosi & pengaruh media sosial
SIASATAN polis ke atas pelajar 14 tahun menikam senior perempuan berusia 16 tahun membawa kepada penemuan sekeping nota tulisan tangan dipercayai milik remaja lelaki terbabit.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, nota yang yang ditulis dalam tulisan Cina itu berbunyi 'Dunia ini palsu. Saya sudah menang' ditemui semasa tangkapan dibuat terhadap suspek.
“Ya, saya sahkan pihak polis ada menemui nota ini.
"Ia dirampas bersama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku.
“Berkaitan kandungan dalam nota ini, ia masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, siasatan dijalankan merangkumi semua aspek termasuk latar belakang suspek dan mangsa.

“Setakat ini, tiada unsur buli dikesan dalam kejadian ini.
“Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua pihak termasuk sekolah serta masyarakat untuk bersama memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Shazeli mendedahkan, tindakan suspek menikam mangsa dipercayai akibat dorongan emosi dan pengaruh media sosial.
Siasatan awal mendapati kedua-dua faktor itu dipercayai mendorong suspek melakukan perbuatan tersebut.
“Siasatan lanjut berkaitan punca kejadian ini masih dijalankan, namun dipercayai suspek bertindak demikian akibat dorongan emosi dan pengaruh media sosial.
“Siasatan turut mendapati suspek tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Katanya lagi, siasatan yang dijalankan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang masalah mental.

“Bagaimanapun, suspek akan dirujuk untuk penilaian psikiatri selepas siasatan selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod salah laku disiplin di sekolah,” katanya.
Menurutnya, seramai 57 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini.
“Antara individu yang diambil keterangan termasuk pelajar, guru serta ahli keluarga suspek dan mangsa.
“Selain itu, pihak polis turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan, dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan,” katanya.
Terdahulu, SinarPlus berkongsi pelajar berusia 16 tahun itu ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya cukup menyayat hati.
Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

