Festival Filem Muslim Kazan Rusia platform pertukaran budaya, kerjasama artistik & memerangi Islamofobia
PUSTAKA Raja Tun Uda Shah Alam baru-baru ini menganjurkan Festival Filem Muslim Kazan Rusia yang memaparkan pelbagai filem dan dokumentari yang menonjolkan budaya dan nilai-nilai Islam.
Berfungsi sebagai platform untuk pertukaran budaya, tujuan festival ini adalah untuk
menggalakkan pemahaman dan penghayatan seni dan tradisi Islam.
Ojektif utama Festival Filem Muslim Kazan Rusia adalah untuk memupuk dialog budaya dan menguatkan hubungan dua hala antara Rusia dan Malaysia.
Festival ini menghimpun para artis, pembuat filem dan pakar budaya dari kedua-dua negara untuk mewujudkan peluang kolaborasi dan pembelajaran bersama.
Barisan filem festival menampilkan lima filem cereka (termasuk filem animasi untuk kanak-kanak) dan dua dokumentari yang memberi paparan unik dalam menyerlahkan nilai rohani dan budaya sejagat sambil menonjolkan tradisi dan amalan masyarakat Tatar di Kazan, Rusia.
Turut hadir adalah Ayupova Irada hafizyanovna, menteri kebudayaan Republik Tatarstan, Victoria Dautova juga dari kementerian kebudayaan, Ilnur Nizamiew yang merupakan ketua Muzium Kebudayaan Islam dan tiga pengarah filem yang ditayangkan.
Selain tayangan filem, para hadirin turut berpeluang berinteraksi dengan seorang kaligrafer dan pakar kostum Tatar, seterusnya memperkayakan pemahaman tentang budaya dan warisan Tatar.
Salah satu matlamat utama Festival Filem Muslim Kazan Rusia adalah untuk memerangi Islamofobia dan menggalakkan persefahaman antara budaya.
Dengan menayang filem-filem yang mengetengahkan kebaikan, keamanan dan keadilan, tanpa mengira latar belakang keagamaan pembuat filem, festival ini bertujuan untuk mencabar stereotaip dan memupuk masyarakat yang lebih inklusif.
Ia juga turut mengambil peluang untuk mengiktiraf dan menjadi wadah untuk mempamerkan filem yang memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan, rohani dan moral.
Festival Filem Muslim Kazan Rusia, yang dikenali sebagai ‘Altyn Minbar’, telah menjadi acara kebudayaan yang signifikan sejak ia bermula pada 2005.
Dianjurkan oleh Majlis Mufti Rusia, Agensi Persekutuan Kebudayaan dan Sinematografi Persekutuan Rusia dan Kementerian Kebudayaan Republik Tatarstan, festival ini didedikasi untuk menggalakkan dan memperkembangkan dialog antara budaya dan meraikan nilai-nilai rohani dan budaya sejagat.
Melalui pertukaran budaya, kerjasama artistik dan dialog, festival ini menjadi jambatan antara negara dan membina masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang