Gara-gara anak guna alat solek, ibu sanggup pukul dan simbah air panas
ANAK perempuan yang memasuki usia remaja lazimnya mempunyai perasaan ingin tahu dan mencuba perkara baharu, terutama berkaitan penampilan diri.
Maka, tidak hairanlah jika mereka tertarik dengan alat solek, lebih-lebih lagi dengan kemudahan video tutorial yang banyak dikongsi di media sosial.
Baru-baru ini, seorang suri rumah ditahan selepas disyaki memukul dan menyimbah air panas ke atas anak perempuannya yang berusia 10 tahun gara-gara menggunakan alat soleknya.

Memetik laporan Bernama, perkara itu terbongkar selepas seorang guru sekolah yang juga pengadu melihat kanak-kanak tersebut memakai pakaian biasa dan bukannya pakaian sukan ketika hadir ke sekolah pada hari Jumaat
Menurut sumber, mangsa memberitahu bahawa dirinya sedang sakit, dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada tangannya.
Guru terbabit kemudian membawa murid itu ke bilik guru untuk pemeriksaan lanjut.
Kanak-kanak itu turut menceritakan kejadian ketika dia bermain alat solek milik ibunya yang berusia 36 tahun tanpa pengetahuannya.
“Apabila wanita itu menyedari perbuatan anak keduanya daripada tiga beradik itu, dia bertindak memarahi mangsa, memukulnya menggunakan objek serta menyimbahnya dengan beberapa cawan air panas,” kata sumber tersebut.

Ketika kejadian berlaku, dua adik-beradik mangsa yang lain sedang tidur. Mangsa kemudian memberitahu bapanya bahawa dia telah dipukul oleh ibu mereka.
“Guru sekolah terus membawa murid itu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan selepas gagal menghubungi bapa murid berkenaan. Atas maklumat tersebut, wanita itu ditahan polis dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkifli Mukhtar, dalam satu kenyataan mengesahkan laporan kes berkenaan.
“Suspek direman selama sehari bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
