'Isteri pergi akibat kanser limpa, anak baru setahun' – Suami mohon edit gambar sekeluarga, kisah sayu bikin ramai sebak

No Image Caption
A
A
A

ADA kisah yang bila dibaca, seakan menahan sebak. Baru-baru ini, perkongsian lelaki bernama Alif TSi di laman Facebook menarik perhatian netizen.

Menerusi perkongsian di Page Edit Apa hari Ini, lelaki tersebut memohon jasa baik seorang pakar IT untuk mengedit gambar dirinya bersama anak dan arwah isteri dimasukkan dalam satu frame.

Permintaan itu bukan sekadar ingin cantikkan gambar, sebaliknya lahir daripada rasa rindu yang mendalam dan kasih sayang seorang bapa untuk anaknya.

Dalam hantarannya, Alif berkongsi bahawa isterinya, arwah Masyitah Yusof, telah pergi meninggalkan mereka ketika anak mereka, Muhammad Aus Amsyar, baru berusia setahun. Kini, anak kecil itu sudah berumur empat tahun.

No Image Caption

Kehilangan seorang ibu pada usia sebegitu muda ternyata meninggalkan kesan mendalam, namun Alif tetap tabah membesarkan si kecil sambil dibantu oleh ibunya.

“Arwah Masyitah menghidap kanser limpa sejak umur 14 tahun dan pernah menjalani rawatan kimoterapi.

"Selepas itu, kami berkahwin ketika arwah berusia 19 tahun. Ketika saya dan arwah menanti kehadiran anak kami, doktor mencadangkan untuk menggugurkan kandungan kerana risiko tinggi.

"Tapi arwah tak mahu. Dia rela ambil risiko demi kehidupan anak kami,” kongsi Alif kepada penulis ketika ditemu bual menerusi alam maya.

KENANGAN ABADI

Kisah cinta dan pengorbanan ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi pengajaran kepada pasangan di luar sana tentang nilai kesabaran, keberanian, dan kasih sayang sejati.

Bapa kepada cahaya mata lelaki itu berharap, walaupun tanpa kehadiran arwah isteri, anaknya dapat merasai kasih ibu melalui kenangan dan cerita yang ditinggalkan.

No Image Caption

Perkongsian Alif di media sosial mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut merasa sebak dan terharu. Ada yang meninggalkan komen kata-kata semangat, ada juga yang menitip doa agar mereka sekeluarga terus tabah dan bahagia.

“Kisah ini bukan sekadar gambar yang diedit, tetapi kenangan yang abadi. Semoga Muhammad Aus Amsyar akan membesar dengan kasih sayang kedua ibu bapa, walaupun seorang sudah tiada di sisi.

"Semoga kisah ini menjadi pengajaran untuk kita semua menghargai setiap detik bersama orang tersayang,” tambah Alif.

Benarlah, hidup ini penuh dengan ujian, namun kasih sayang dan kenangan tidak akan pernah pudar.

Kisah pasangan berkenaan membuktikan bahawa cinta sejati bukan sahaja wujud dalam detik manis, tetapi juga dalam pengorbanan dan keberanian menghadapi dugaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang