‘Kami tegur mangsa supaya tak pergi ke jalan itu.' Nelayan luah rasa terkilan, suspek kes bunuh Norshamira sempat gadai gelang emas

TIDAK ada hati perut! Jumaat lalu mayat wanita dikenali sebagai Norshamira Zainal dijumpai di tepi Sungai Kuantan.
Siasatan lanjut pihak polis telah membawa kepada penahanan suspek yang juga lelaki berusia 53 tahun di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada pukul 5.30 pagi, Sabtu.
Siasatan awal mendapati, motif utama pembunuhan adalah samun yang mana suspek mengambil barang kemas mangsa sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata gelang yang digadaikan itu dianggarkan bernilai sekitar RM30,000.
"Kami juga merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian, dan beberapa dokumen untuk membantu siasatan," ujarnya.

Majistret Nor Izzati Zakaria kemudiannya membenarkan permohonan reman selama tujuh hari, bermula Sabtu hingga 21 Februari, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam masa yang sama, polis juga telah menahan seorang pekerja kedai pajak gadai di Kuala Terengganu bagi membantu siasatan. Pekerja lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di tempat kerjanya di sebuah pajak gadai pada 10.30 pagi semalam.
Wan Mohd Zahari berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki telah mengunjungi kedai pajak gadai berkenaan dan menggadaikan gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.
"Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Berikutan penahan suspek, suami kepada Allahyarham, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, berpuas hati apabila suspek yang dipercayai membunuh isterinya telah pun diberkas. Beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis pada 7.00 pagi semalam dan mengharapkan agar suspek dikenakan hukuman yang setimpal.

Dalam perkembangan terbaharu kes tersebut, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad dikatakan menegur mangsa.
Beliau yang bekerja sebagai nelayan kebetulan berada di jeti berdekatan tempat mangsa hilang itu bersama rakannya ada menasihati arwah supaya tidak pergi ke jalan itu kerana gelap dan tidak dilalui penduduk pada waktu malam.
Namun, mangsa meneruskan perjalanannya sebaik melihat suspek memanggilnya.
“Kami sangka, mangsa mengenal suspek kerana dia tidak minta kami temankan. Kami tidak dapat mengenal pasti suspek kerana keadaan gelap. Kami hanya nampak mangsa terus ke arah suspek yang melambainya menggunakan cahaya telefon bimbit,” ujar Mohamad.
Mohamad pada masa sama mengakui sekiranya mengetahui pelanggan tersebut adalah suspek, pasti akan berusaha menghalang pertemuan itu.
"Kalau saya tahu, saya tidak akan benarkan dia (mangsa) berjumpa suspek.
"Jika perlu, saya sendiri akan teman kerana suspek dikenali sebagai individu ‘bermasalah'," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat seorang peniaga makanan wanita, Norshamira Zainal berusia 37 tahun di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang