Kanak-kanak 6 tahun dijerut cable tie, bapa hadapi tuduhan membunuh. 'Dia hanya mengangguk faham'
TRAGEDI menyayat hati yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tular.
Mayat si kecil dikenali sebagai M Tishant, 6, ditemui dalam keadaan ditanam di kawasan belukar, mencetuskan persoalan besar terhadap nasib dan penderitaan yang ditanggung anak kecil itu.
Dalam perkembangan terkini, bapanya M Arunkumar, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jelebu atas pertuduhan membunuh.
Mengikut pertuduhan, pemandu e-hailing itu melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian anak tunggalnya.
Kesalahan itu dilakukan pada 23 Julai 2025 antara jam 9.02 pagi hingga jam 12.55 tengah hari di tepi jalan Kilometer 25 Jalan Rompin, Bahau daerah Jempol.

Memetik Sinar Harian, lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Dengan itu, M Arunkumar telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh untuk sebutan bagi laporan bedah siasat.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban, pada 10 September depan.
Sebelum ini, SinarPlus berkongsi kisah menyayat hati kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu, ditemukan ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Laporan polis dilakukan M Arunkumar menyatakan M Thisant hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta sementara dia membeli makanan di sebuah kopitiam.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, maklumat awal bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Rembau mengesahkan punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher akibat jerutan menggunakan pengikat kabel (cable tie).
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

