Murung kehilangan anak, ibu kanak-kanak maut dijerut cable tie kini stabil. Rupanya pernah buat laporan dipukul suami
SEORANG wanita kini dilaporkan stabil selepas melalui detik hitam apabila nyawa anak kecilnya diragut dalam kejadian menyayat hati.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan wanita itu dalam keadaan beransur pulih dan telah dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat kemurungan.
Katanya lagi, pada 22 Julai ibu tersebut pernah membuat laporan mendakwa suaminya memukulnya dan membawa keluar anak mereka dari rumah.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga .
Semalam, waris mengatakan ibu berkenaan menangis setiap hari dan tiada selera makan sejak kehilangan anaknya pada 24 Julai.
Menurut datuk saudarayang dikenali sebagai Tata kematian anak kecil itu mengejutkan seluruh ahli keluarga.
Beliau yang mempunyai hubungan yang rapat dengan mangsa sering teringatkan kanak-kanak itu hingga sukar untuk tidur.

“Biasanya apabila dengar kes sebegini, kita rasa simpati, namun hari ini ia menimpa keluarga kami.
"Apa yang membuatkan kami sukar terima, suspek itu bukannya orang luar, tetapi bapanya sendiri,” katanya.
Terdahulu, kanak-kanak berkenaan dilapor hilang oleh bapanya yang berusia 36 tahun selepas ditinggalkan di dalam kereta sementara dia membeli makanan di sebuah kopitiam di Johor Bahru.
Lebih memilukan, lima hari selepas kehilangan, jasad anak kecil berkenaan ditemui dalam keadaan ditanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Susulan siasatan, bapa kanak-kanak itu direman tujuh hari bermula semalam.
Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu membuat laporan kehilangan anak lelakinya yang berusia enam tahun pada kira-kira jam 2.15 pagi, Khamis lalu, mendakwa anak tunggalnya itu hilang sekitar jam 6 petang Rabu lalu.
Polis kini membuka dua kertas siasatan membabitkan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes awal disiasat polis kontinjen Johor membabitkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 200 manakala kes bunuh disiasat kontinjen Negeri Sembilan.
Sumber: Buletin TV3 , 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
