Kejam! Suspek utama dan mangsa bertengkar tentang wang, berakhir tragis 'dalam' beg
KES penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, Khamis lalu dipercayai berpunca daripada pertengkaran melibatkan isu kewangan.
Satu persatu hasil siasatan mendedahkan fakta menyayat hati. Dalam perkembangan terbaharu, suspek utama berusia 51 tahun direman Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.
Menurut sumber keluarga, lelaki berkenaan individu yang dipercayai oleh keluarga dan sudah lama dikenali.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek utama dipercayai terlibat dalam pertengkaran sebelum kejadian berlaku.

Konflik dikatakan berpunca apabila mangsa dipercayai meminta wang daripada suspek yang merupakan penganggur.
“Suspek utama yang ditahan di Genting Sempah semalam baru sahaja direman pagi ini, justeru proses soal siasat masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek, dipercayai berkaitan permintaan wang oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan dari pelbagai sudut bagi mendapatkan gambaran lengkap berhubung punca kejadian, termasuk kemungkinan motif lain yang berkaitan.
Sementara itu, mayat mangsa yang sudah mereput menyukarkan proses pengecaman.
Dipercayai telah meninggal dunia melebihi tiga hari, dentiti sebenar belum dapat dikenal pasti setakat ini.
Bagaimanapun polis telah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada beberapa ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa.

"Identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana keadaan mayat yang sudah mereput.
"Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) beberapa ahli keluarga telah diambil bagi membantu proses pengecaman," katanya.
Terdahulu, polis telah menahan dua lelaki berusia 41 dan 51 tahun masing-masing di Melaka dan Genting Sempah susulan penemuan mayat berkenaan dan usaha mengesan suspek lain sedang giat dijalankan.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan awal turut mengesyaki rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat itu mempunyai kaitan dengan suspek utama yang juga seorang penganggur, namun tidak dapat disahkan ketika ini.
Muhammad Idzam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Polis Daerah Ampang sebelum ini memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu, bagi membantu siasatan kes terbabit.
Kes penemuan mayat wanita yang ditanam di dalam beg itu terus mencetuskan perhatian ramai, sementara polis meneruskan usaha mengenal pasti identiti mangsa serta menjejaki tiga individu yang masih bebas.
Sumber: Sinar Harian 1,2,3,4, 5
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

