Kisah tular anak yatim piatu Putera Iman, Dr Asyraf Wajdi jadikan anak angkat

Foto : FB Universiti Utara Malaysia
Foto : FB Universiti Utara Malaysia
A
A
A

KISAH seorang mahasiswa baharu Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, menyentuh hati ramai selepas hadir mendaftar tanpa ditemani waris, sebaliknya hanya membawa beg besar dan dua beg sandang dari Stesen Kereta Api Arau.

Pelajar cemerlang yang memperoleh CGPA 3.71 dari Kolej Matrikulasi itu kehilangan ibu, Allahyarhamah Khatijah Mohd Rashid, ketika baru mendaftar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian pada 2019. Ibunya meninggal dunia sebulan selepas dia memulakan pengajian.

Ayahnya pula, Shahiran Pake Chi, 57, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pula meninggal dunia secara mengejut bulan lalu, hanya beberapa minggu sebelum anaknya itu melangkah ke alam universiti.

Putera pada awalnya berkira-kira menangguhkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pemasaran untuk bekerja demi kelangsungan hidup. Namun, setelah dipujuk rakan taulan, dia tekad meneruskan perjalanan ilmu.

Kisah Putera Iman mula tular selepas dikongsikan oleh Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia pada Selasa.
Kisah Putera Iman mula tular selepas dikongsikan oleh Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia pada Selasa.

Ketika tiba di Arau, anak tunggal tersebut pada awalnya berhasrat menaiki Grab ke kampus, sebelum kakitangan Inasis SME Bank UUM yang dihantar khas oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan, menjemputnya dan memudahkan urusan pendaftaran.

Kisah ketabahan Putera kemudian tular hingga mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang memberi jaminan akan membantu kos yuran pengajian.

Turut tersentuh dengan nasib menimpa pelajar berkenaan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi rasa simpati.

Tidak hanya menghulurkan bantuan pengajian, Dr Asyraf juga mendedahkan hasrat menjadikan Putera Iman sebagai anak angkat.

“Sepanjang malam kelmarin ramai yang menandai saya tentang kisah adik Putera. Ceritanya cukup menyayat hati kerana ibunya meninggal dunia sebulan selepas beliau mendaftar di MRSM, manakala ayahnya pula pergi secara mengejut bulan lalu. Tinggallah Putera sebatang kara tanpa tempat mengadu dan berkasih sayang.

“Insya-ALLAH, MARA juga akan membantu dengan pembiayaan sara hidup bulanan di samping bantuan awal serta komputer riba untuk kegunaan pembelajaran beliau,” katanya menerusi perkongsian menerusi media sosial.

Pihak UUM juga telah menyerahkan bantuan wang tunai kepada Putera Iman.
Pihak UUM juga telah menyerahkan bantuan wang tunai kepada Putera Iman.

Dalam pada itu, Dr Asyraf menegaskan, beliau secara peribadi akan mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan anak muda itu.

“Memandangkan Putera kini menjadi anak yatim piatu, insya-ALLAH saya juga akan menjadikannya sebagai anak angkat saya bagi membantunya. Bolehlah dia datang ke rumah waktu musim cuti semester.

“Hanya dengan ilmu sahaja kehidupan boleh berubah. Saya doakan Putera akan berjaya dan sentiasa dalam peliharaan Allah,” katanya.

Putera merupakan antara 4,549 pelajar baharu yang mendaftar masuk ke UUM pada 23 September lalu, menyertai keseluruhan pelajar universiti itu seramai 30,121 orang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang