Konvokesyen UPSI bertukar pilu, keluarga arwah Nurly Shahirah dan Fatin Nasrien terima ijazah anumerta – ‘Rasa sedih, gembira bercampur-baur’

No Image Caption
A
A
A

DI sebalik senyuman para graduan yang meraikan kejayaan, terselit kisah dua anak muda yang tidak sempat menyaksikan detik impian mereka menjadi nyata. 

Namun, kasih keluarga dan penghormatan universiti memastikan perjalanan akademik mereka tetap disempurnakan dengan penuh martabat dan harga diri. 

Kesedihan, doa dan ketabahan bergabung menjadi momen paling menyentuh hati pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-27, Selasa lalu.

Suasana Dewan Tuanku Canselor bertukar hening apabila ijazah secara anumerta diserahkan kepada keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22, dua daripada 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam tragedi nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu.

Dalam majlis penuh hormat itu, Raja Permaisuri Perak merangkap Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim menyampaikan sendiri skrol kepada bapa Allahyarham Nurly Shahirah, Azman Mohamad, 63, serta bapa Allahyarhamah Fatin Nasrien, Fadli Abd Rahman, 50. 

No Image Caption

Ketika montaj tragedi ditayangkan, baginda turut kelihatan sebak dan mengesat air mata, tanda simpati dan doa yang tidak berbelah bahagi.

Bagi Azman, kekuatan menjadi penyambung langkah anak perempuannya bukan mudah, namun dia memilih untuk berdiri dengan hati yang teguh.

“Rasa sedih dan gembira bercampur-baur ketika nama anak disebutkan.

"Alhamdulillah, ALLAH SWT beri kekuatan, kesedihan itu disimpan, walaupun hati kecil ini berasa sayu,” katanya sambil ditemani isterinya, Kamariah Abdul Latif, 60.

Allahyarham Nurly Shahirah sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dengan Kepujian, impian yang pernah diceritakannya kepada keluarga, sebelum tragedi meragut nyawa berlaku.

No Image Caption

ARWAH HARAPAN KELUARGA

Di satu sudut lain dewan, Fadli dan isterinya, Norhasliza Yusof, 43, turut berdiri mengambil alih tempat arwah Fatin Nasrien yang sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan. 

Meski senyuman cuba disematkan, air mata masih mudah gugur mengenang harapan yang tidak sempat disempurnakan.

“Ijazah ini amat bermakna untuk dijadikan contoh kepada empat anak kami yang lain agar dapat mengikuti jejak langkah kakak mereka dalam melanjutkan pengajian.

“Pada masa sama, hati ini tetap berasa sedih kerana arwah juga merupakan harapan keluarga. 

"Terima kasih UPSI kerana tidak melupakan kami,” katanya dengan suara yang cuba ditahan.

No Image Caption

Istiadat sesi pertama menyaksikan 635 graduan menerima skrol daripada keseluruhan 7,173 graduan yang diraikan tahun ini. 

Namun, kisah dua insan hebat ini mengingatkan bahawa kejayaan bukan sekadar meraikan akademik, ia tentang pengorbanan, ketabahan dan cinta keluarga yang tidak pernah padam.

Dalam setiap kehilangan, ada kekuatan yang bangkit. Dalam setiap pemergian, ada inspirasi yang ditinggalkan. 

Dan seperti ungkapan yang berlegar dalam hati para hadirin hari itu, masa depan tetap menjanjikan syurga buat sesiapa yang punyai keinginan untuk berubah.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang