Lelaki kata masam, selekeh & tak menarik, tapi wanita plus-size ini buktikan bahagia tak kenal saiz tubuh

No Image Caption
A
A
A

MASAM, selekeh, tidak menarik, cepat mati sebab BMI (Body Mass Index) tidak normal?

Itu antara alasan yang lelaki berikan apabila ditanya mengapa tidak suka wanita yang gemuk atau plus-size.

Kedengaran kejam, tetapi daripada ribuan komen itulah muncul satu kisah luar biasa, kisah seorang wanita berbadan besar yang membuktikan gemuk bukan penghalang bahagia.

No Image Caption

Pemilik nama sebenar, Nur Ashura Mohd Junaide tampil berani berkongsi pengalamannya.

Katanya, gemuk bukan tiket untuk dihina kerana di sebalik tubuh berisi, dia masih mampu menjalani hidup dengan penuh keyakinan.

“Wahai wanita, jangan cepat terasa, okay.

"Percayalah, apabila sampai jodoh, gemuk mana pun kita tetap akan kahwin,” kongsinya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.

Mesra disapa Asyura Junaide, dia yang berniaga laksa Johor secara kecil-kecilan juga tidak segan mengaku tentang situasi dirinya.

“Saya gemuk, tetapi pandai memasak, mengemas rumah dengan sempurna, wangi, comel dan bergaya pun pandai.

"Alhamdulillah, pada saya rezeki, jodoh dan ajal telah ditetapkan sejak dari alam rahim lagi,” ungkapnya lagi.

Bertubuh besar juga sering dikaitkan dengan risiko menghidap pelbagai penyakit.

Apabila persoalan tersebut diutarakan kepadanya tentang tahap kesihatan dirinya, Asyura mengakui dia tidak pernah mengabaikan penjagaan kesihatan.

“Tidak dinafikan, orang selalu kaitkan badan besar (gemuk) ini dengan mudah dapat penyakit. Tetapi jangan ingat semuanya tidak cakna dengan kesihatan.

"Saya sentiasa memantau tekanan darah dan gula. Orang kurus itu lebih bahaya sebab mereka fikir bertubuh langsing adalah sihat. Alhamdulillah, pada usia 31 tahun bacaan saya normal,” katanya.

Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, perjalanan hidupnya tidak semudah yang disangka.

No Image Caption

Dalam pada itu, dia turut mendedahkan sebelum ini pernah hamil, namun rezekinya belum tiba apabila mengalami keguguran.

“Selain bertubuh besar, saya juga mempunyai penyakit PCOS. Disebabkan itu, saya sukar untuk menurunkan berat badan.

"Namun, itu tidak bermakna saya berputus asa, sebaliknya sentiasa cuba,” ujarnya.

Tahun 2022 menjadi detik yang sukar apabila doktor mengesan kewujudan sista besar pada ovari ketika dia membuat pemeriksaan kehamilan.

"Bayi yang dikandung tidak dapat diselamatkan, namun di situlah bermula sebuah kisah cinta dan kesetiaan yang mengharukan.

“Saya didiagnosis dengan sista ovari besar pada tahun 2022. Dapat tahu sebab hendak pergi imbas kandungan bayi.

"Tetapi bayi tidak dapat diselamatkan. Bermulalah perjalanan ulang-alik hospital. Dan lelaki inilah yang setia menemani sehingga hari pembedahan,” ujarnya lagi.

Cinta sejati

Bagi Asyura, suaminya, Ridzuan Ali adalah bukti cinta sejati. Di saat orang lain mungkin memandang rendah pada dirinya, lelaki itu tetap ada tanpa pernah berganjak.

“Ya, suami saya juga bernazar untuk botak jika isteri yang gemuk ini selamat. Dia yang menjaga isteri yang gemuk ini, mencuci luka, menyuntik ubat cair darah, menyediakan makanan sedap untuk pastikan saya terus bernafas dan sihat.

No Image Caption

"Lillahi Ta‘ala, saya sentiasa berdoa agar ALLAH tinggikan darjat suami saya,” luahnya penuh syukur.

Kisah Asyura bukan sekadar luahan seorang wanita berbadan besar yang sering dihina. Ia adalah simbol bahawa bahagia tidak pernah ditentukan oleh angka pada penimbang.

Benar, kesihatan itu penting, tetapi lebih penting lagi ialah memiliki pasangan yang menerima kita seikhlas hati.

“Gemuk bukan dosa. Jangan hukum orang kerana tubuhnya. Kita tidak tahu ujian setiap orang.

"Yang penting, sentiasa bersyukur, jaga kesihatan ikut kemampuan dan hargai orang yang sayang kita tanpa syarat,” katanya menutup cerita.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang