Majlis pernikahan anak pengasas Dnars rai 5,000 tetamu. Netizen kagum, sederhana tapi sarat nilai & kenangan

No Image Caption
A
A
A

KALAU hati ikhlas dan niat betul, segalanya pasti sampai ke hati.

Itu yang dapat digambarkan tentang majlis pernikahan anak kepada usahawan kosmetik terkenal, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad, Irdina Hakim Jasman yang kini sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Muhammad Farez Zuhaily Shah.

Bukan majlis gah di hotel lima bintang, bukan juga pesta mewah dengan dekorasi bertingkat-tingkat.

Tapi cukup sekadar kenduri sederhana penuh rasa, bertempat di kediaman arwah ibunya yang sarat dengan kenangan. Dan itulah yang menyentuh hati ramai tetamu yang hadir pada 25 April lalu.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan, disambut keluarga terdekat, saudara-mara, kenalan rapat, pelanggan setia Dnars serta orang kampung dan pengikut di media sosial.

Lebih kurang 5,000 tetamu datang memeriahkan hari bahagia pasangan ini, daripada yang dikenali, hingga yang baru pertama kali bertemu muka.

Apa yang menarik perhatian ramai bukan hanya keindahan majlis, tapi cara keluarga pengantin melayan tetamu. Tiada layanan dwistandard. Tiada konsep VIP. Tiada pagar eksklusif untuk 'orang besar'.

Semua dilayan dengan mesra dan sama rata. Daripada orang biasa ke usahawan, daripada peminat ke penduduk kampung, semua dijemput, diraikan.

No Image Caption

Perkara itu turut mendapat pujian daripada pempengaruh terkenal, Izmer Mustapha atau lebih dikenali sebagai Abang Lal Senok Perut. Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan pendekatan keluarga Irdina sebagai sangat merendah diri dan penuh kasih sayang terhadap masyarakat.

“Walaupun mampu buat grand, keluarga pengantin tetap memilih rumah arwah ibu sebagai lokasi.

Yang datang semua dijemput, tak kira siapa. Layanan pun sama rata. Ini baru betul-betul majlis kenduri,” tulisnya.

Ruangan komen pula dibanjiri pujian dan doa yang baik-baik. Ada yang mengakui kagum dengan sikap keluarga Irdina yang tidak membeza-bezakan latar belakang tetamu.

Seorang pengguna, Neesa Roslan menulis: “Macam ni baru betul. Yang sokong bisnes ni kebanyakan orang biasa.”

Nik Yah Nik Mood pula berkata: “Orang yang tahu hukum-hakam agama Islam memang sepatutnya buat majlis tidak membeza-bezakan para undangan.”

Malah, bukan itu saja yang menjadi bualan. Penampilan Irdina turut mencuri perhatian ramai kerana wajahnya yang dikatakan sangat mirip dengan arwah ibunya.

No Image Caption

Ramai warganet mengungkap rasa rindu pada Allahyarhamah Faziani, yang terkenal dengan sifat pemurah dan sering membantu golongan memerlukan.

Foto-foto dan video majlis yang tular di media sosial menerima ribuan tanda suka dan perkongsian. Ramai terharu melihat bagaimana legasi seorang ibu yang sudah tiada masih hidup dalam perwatakan dan cara hidup anaknya.

Majlis ini bukan sekadar tentang penyatuan dua hati. Ia juga menjadi simbol kasih sayang, kenangan yang abadi, serta satu penghormatan kepada insan yang telah pergi, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad.

Dalam kesederhanaan, ada keberkatan. Dalam kemesraan, ada keberanian untuk kekal merendah diri walau mampu lebih daripada itu.

Tahniah buat Irdina dan Farez. Semoga bahtera rumah tangga yang dibina terus kukuh dilandasi nilai kasih, hormat, dan ingatan pada asal-usul.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang