'Mak kamu ni, menyusahkan betullah' Hati-hati dengan perkataan, jangan sampai mengumpat pasangan depan anak!
MENGUMPAT, perbuatan buruk bercakap tentang orang lain di belakang. Selalunya, perbuatan ini dilakukan oleh seseorang secara sedar atau tidak.
Percaya atau tidak, sebenarnya bukan sahaja perbualan bersama rakan-rakan sahaja boleh terjadinya perbuatan ini. Malah, dalam keluarga kecil kita sendiri pun boleh berlaku perkara ini.
Melalui penulisan Khairul Nadzir, kadangkala tanpa sedar kita ini ter’mengumpat’ dengan anak-anak di belakang suami atau isteri walaupun sebenarnya itu hanya perkara kecil sahaja.
Namun, perbuatan kita itu membuatkan anak-anak akan ingat sampai bila-bila walaupun pada usia kecil.
Antara ayat yang sering kita sebut :-
“Aish, mak kamu ni, menyusahkan betullah”
“Itulah perangai bapak kau, pemalas!”
“Jangan jadi macam mak kau tu, comot!”
Tambah beliau, anak-anak ambil perkataan yang disebut ini untuk menghakimi atau menilai ibu ayahnya dan secara perlahan-lahan membuatkan mereka hilang hormat pada orang tua sehingga besar.
Malah, ini juga membuatkan mereka rasa tiada masalah untuk merasa hina terhadap ibu ayah dan mula menggunakan intonasi kurang baik.
Bagi mengelakkan semua ini terjadi, penting bagi ibu dan ayah belajar 'skkrip' yang patut disebut pada anak-anak ketika pasangan tiada bersama untuk bekerja atau sewaktu dengannya supaya anak-anak kita boleh tahu erti kemuliaan kepada ibu ayahnya.
Melalui cara ini, walaupun kita jarang dengan anak, anak mampu jadikan kita ni hero atau heroin di mata mereka. Antaranya :-
1. Selalu sebut ayah/ibu tiada di rumah sebab apa.
“Ayah pergi kerja, nak bawak balik rezeki”
“Ibu pergi berniaga, sebab nak tolong ayah”
“Ayah keluar lama-lama, sebab ayah pergi tolong orang/ dakwah,”
“Mak keluar dengan kawan-kawan, sebab nak rehat kejap, kan ibu dah lama dengan korang,”
Nampak biasa, tetapi anak tahu pasangan kita keluar rumah ada tujuan yang jelas. Elakkan guna ayat-ayat yang anak kita ada soalan kedua, contohnya, pergi meeting, jumpa kawan atau lain-lain. Anak kita tak sampai lagi tahap kena tahu benda-benda ni. Biar kita sebagai pasangan je simpan.
2. Sebut timeline waktu balik pasangan.
“Ayah/mak kau kalau dah jumpa kawan, tak reti balik!”
“Ayah/mak kamu mana reti balik bila dah kerja, tak payahlah tunggu!”
“Ayah/mak kau kalau dah keluar, jalan balik rumah pun lupa!”
Boleh bayang tak apa yang anak akan proses dalam otak bila pasangan sebut begini? Kita tak puas hati pada pasangan tu satu hal lah. Tapi janganlah tarik anak kita sekali untuk bencikan ibu ayah mereka sendiri.
Sebutlah, contoh..
“Ayah/mak keluar sekejap dengan kawan-kawan tu, nanti baliklah,”
“Ayah/mak keluar 2-3 hari je tu.”
3. Puji penampilan dan sikap positif pasangan depan anak-anak
“Cantiknya anak ayah pakai tudung, macam mak laaa”
“Sihatnya anak umi, macam abinya”
“Along ni rajinlah, macam abi”
“Adik ni sopan je, macam umi”
Perkataan yang kecil, tapi impaknya teramat dahsyat, terutama sekali kepada anak perempuan.
Tanda-tanda anak-anak tidak boleh jadikan ibu ayahnya sebagai hero atau heroin hidup mereka, apabila pasangan gagal bercerita hebatnya ibu ayah mereka daripada kita sendiri. Tak sedar kita selalu ‘ejek’ pasangan depan anak-anak dengan bentuk fizikal, rupa paras, sikap dan tingkahlaku yang negatif, sehingga anak-anak berani ‘ulang’ perkataan itu depan orang ramai. Buanglah benda ni. Rugi untuk kita sekeluarga.
4. Selalu rasionalkan anak, apabila pasangan kita buat sesuatu pada anak.
“Along kena tahu kenapa abi marah, sebab apa yang along buat tu salah,”
“Abi bawak awak makan-makan ni sebab, nak hargai umi yang banyak jaga awak semua,”
“Adik cuba tengok umi, penat tak? Sebab umi nak bagi yang terbaik pada adik”
Siapa lagi yang nak jadi backup besar kita kalau bukan pasangan kita sendiri. Jangan manipulasi situasi depan anak-anak untuk dilihat ‘sayang sebelah pihak’ kalau pasangan kita buat sesuatu pada anak, apatah lagi dalam situasi menghukum anak oleh salah seorang daripada pasangan.
5. Ajar anak bacakan doa untuk mak ayah dia secara kerap jika berjauhan.
Saya rasa inilah asas paling besar dalam memastikan kita beri perkataan yang terbaik pada anak ketika pasangan kita berjauhan atau berada di ‘belakang’ kita. Seawal usia kecil dah diajar untuk doakan ibu bapanya. Bukan hanya bila dah tiada, baru nak dibacakan doa.
Bila tidak berdepan dan bersua, yang mengikat kita ini hanyalah Allah. Tanamkan anak-anak kita ni dengan ikatan yang paling mulia, iaitu doa kepada Allah. InsyaAllah, pandangan sakinah dan mawaddah sentiasa akan terbit walaupun berjauhan, dan insyaAllah juga hati ini akan tidak tergamak berkata yang buruk-buruk di depan anak terhadap pasangan kita.
Jadi, jangan biasakan 'mengumpat' hal buruk pasangan depan anak-anak ye! Kata yang baik-baik ye pada pasangan kita di depan anak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang