'Mayat jadi tulang pun masih boleh 'bersuara'' -Kubur digali semula, rahsia kematian terbongkar. Begini proses ekshumasi forensik
PADA 16 Julai 2025, negara digemparkan dengan berita kematian tragis seorang pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.
Remaja itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Walaupun pihak berkuasa awalnya menyatakan arwah jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, keluarganya meragui punca sebenar kematian tersebut.
Mereka mendesak agar mayatnya digali semula untuk menjalani bedah siasat kedua bagi memastikan kebenaran.

Proses menggali semula kubur atau ekshumasi bukanlah sesuatu yang biasa dilakukan dan memerlukan kebenaran mahkamah terlebih dahulu.
Susulan itu, kubur digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara pada 9 Ogos bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan terhadap jasad pelajar Tingkatan Satu berkenaan.
SinarPlus berkesempatan menemu bual Pensyarah Kanan, Program Sains Forensik, Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat, Management and Science University (MSU), Dr Muhammad Jefri Mohd Yusof bagi mendapatkan pandangannya mengenai proses tersebut.
Menurut beliau, tindakan tersebut dilakukan apabila terdapat keperluan untuk mendapatkan bukti tambahan yang mungkin terlepas pandang pada pemeriksaan awal.
Selain itu, tujuan utama ekshumasi adalah untuk mengesahkan punca kematian dan menyelesaikan sebarang percanggahan dalam laporan sebelumnya.

“Setelah mendapat perintah mahkamah, pasukan forensik yang terdiri daripada pakar patologi, polis, dan kakitangan berkaitan akan menjalankan penggalian semula kubur dengan penuh berhati-hati.
“Setiap langkah akan didokumentasikan dengan lengkap menggunakan gambar dan video supaya proses tersebut dapat disahkan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” ujarnya kepada SinarPlus.
PETUNJUK PENTING
Ulas pakar itu lagi, sepanjang proses itu, jika memerlukan analisis tambahan seperti sampel biologi ataupun ujian DNA dan toksikologi bagi mengetahui sama ada terdapat kandungan racun ataupun DNA genetik, semuanya akan dijalankan.
Selain itu, teknologi seperti imbasan CT scan turut digunakan untuk mengesan kecederaan atau trauma yang tidak dapat dilihat secara fizikal.
“Selepas semua prosedur selesai dan laporan selengkapnya dihasilkan, mayat akan dikebumikan semula mengikut adat dan budaya yang sesuai.
“Dari segi peralatan pula, pihak terbabit akan menggunakan imbasan X-ray ataupun CT scan untuk melihat kesan tertentu pada tulang.
“Ini kerana kadang-kadang terdapat kesan tembakan atau tulang patah yang tidak kelihatan semasa post mortem awal. Melalui imbasan CT scan, kita dapat mengenal pasti kawasan yang mungkin tidak diperiksa dengan teliti sebelum ini,” kata Dr Jefri.

Jika keadaan mayat sudah menjadi tulang sepenuhnya, pihak forensik akan membina semula struktur tengkorak atau tubuh badan mayat untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.
“Berdasarkan struktur tulang, contohnya tengkorak, kita boleh menganggarkan sama ada terdapat kesan tembakan, seperti lubang peluru atau serpihan.
“Selain itu, walaupun mayat telah lama dikebumikan, ia masih boleh memberikan petunjuk penting seperti kesan racun atau kecederaan,” tambahnya.
Malah, walaupun yang tinggal hanyalah tulang, keadaan itu tetap memberikan maklumat penting.
“Pada tulang, kita boleh melihat kesan kecederaan seperti patah tulang, trauma akibat hentakan senjata tumpul atau senjata tajam yang mungkin memberi petunjuk tentang cara kematian mangsa,” kata pakar itu lagi.
Menyentuh cabaran dalam melaksanakan proses tersebut, Dr Jefri mengakui, keadaan mayat yang sudah reput atau tinggal tulang merupakan antara faktor utama yang menyukarkan proses siasatan.
Namun, tulang, gigi dan rambut masih mampu menyimpan DNA yang berguna untuk analisis forensik walaupun selepas bertahun-tahun dikebumikan.
Cabaran lain seperti pencemaran bahan bukti akibat persekitaran.
“Di Malaysia, mayat biasanya ditanam terus ke dalam tanah tanpa keranda, berbeza dengan negara luar.
“Persekitaran tanah, mikroorganisma dan pokok boleh mencemarkan bukti, terutama jika mahu digunakan untuk analisis kimia,” jelasnya.
Apabila mayat mula mereput, kandungan cecair dalam badan juga akan keluar dan diserap oleh tanah, menyebabkan beberapa bahan kimia penting mungkin hilang.

Unit forensik bertanggungjawab menjalankan penggalian semula dan biasanya diiringi oleh wakil mahkamah serta keluarga mangsa sebagai saksi.
“Jika mayat berisiko tinggi seperti mempunyai penyakit berjangkit, pihak kesihatan akan memantau dan terlibat dalam pengurusan tanah kubur,” tambah Dr Jefri.
Bukan itu sahaja, setiap petugas yang terlibat dalam penggalian semula wajib memakai pakaian pelindung diri lengkap bagi melindungi diri daripada risiko jangkitan bakteria atau virus yang mungkin terdapat pada mayat atau tanah di persekitaran tanah perkuburan.
Apabila ditanya mengenai hak keluarga mangsa untuk berada di lokasi penggalian, Dr Jefri menjelaskan, keluarga biasanya dibenarkan berada di kawasan berdekatan sebagai saksi.
“Walaupun begitu, mereka tidak dibenarkan menyaksikan proses penggalian secara langsung bagi menjaga emosi mereka dan memastikan kelancaran siasatan,” jelasnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
