'Meninggal pada bulan mulia, kematian mereka dicemburui.' Imam, anak lelaki maut dirempuh kenderaan ketika dalam perjalanan ke masjid

MALAM Khamis yang sepatutnya menjadi detik tenang dan penuh keberkatan berubah menjadi momen tragis buat sebuah keluarga di Besut.
Seorang bapa dan anaknya, yang dalam perjalanan ke Masjid At-Taqwa untuk menunaikan solat tarawih, telah terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa mereka.
Mohd Nazri Mohd Nor, 59, yang juga imam masjid, bersama anaknya, Muhammad Hamas, 25, menaiki motosikal Honda EX5 menuju ke masjid ketika mereka dirempuh sebuah Toyota Hilux di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Padang Landak.

Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Besut, namun menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan. Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu, kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa membuat pusingan U sebelum dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.
Pemandu Hilux itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan keluarga mereka diberi ketabahan menghadapi dugaan ini. Salam takziah dari pihak SinarPlus buat keluarga Allahyarham.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang