'Nak kaya, ‘work-life balance’? Lupakan saja dunia perubatan...' Nasihat doktor pakar ini memang ‘makan dalam’
SERAMAI 14,179 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 memperoleh keputusan cemerlang gred A, A+ dan A- dalam semua mata pelajaran. Statistik ini menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya.
Walaupun banyak komen negatif mengatakan bidang kedoktoran tidak perlu menjadi keutamaan sekarang ini, tetapi masih ada dalam kalangan mereka yang mahu meneruskan cita-cita tersebut.
Seorang doktor pakar dari Pulau Pinang, Dr Abdul Gafoor Mubarak, sudi berkongsi pendapatnya kepada anda yang masih tegar untuk terjun dalam bidang perubatan.
“Sebelum memilih kerjaya sebagai doktor, anda perlu tanya diri sendiri dahulu, apakah perkara yang anda hargai. Jika anda suka meluangkan masa bersama keluarga, mahukan kerja yang mempunyai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan (‘work-life balance’) dan tidak suka bekerja pada hujung minggu, maka lupakan sahaja cita-cita itu.
“Begitu juga buat anak-anak muda yang mahu jadi doktor sebab nak kaya dengan gaji besar, boleh beli rumah dan kereta mewah, sesungguhnya itu bukanlah realitinya. Tahukah anda, mereka yang mengambil jurusan perubatan ini perlu menghabiskan masa 15 tahun berkhidmat dengan kerajaan sebelum boleh membuka klinik sendiri,” ujarnya.
Beliau juga menambah, kerjaya doktor ini sangat sesuai untuk mereka yang mengutamakan kebajikan orang lain daripada diri sendiri, suka membantu orang, berkorban untuk kebaikan orang lain dan tidak berkira masa.

Kerjaya ini juga tidaklah boleh membuatkan anda terus kaya. Ia memerlukan proses yang agak lama untuk mencapai gaji yang diidamkan. Menurut pendapat beliau berdasarkan pemerhatian terhadap rakan-rakan lain, doktor pakar ortopedik antara kerjaya yang paling lumayan dalam bidang perubatan. Boleh mencapai gaji tujuh angka.
Untuk sampai ke tahap itu, ia memerlukan masa dan pengorbanan. Bukan boleh diperoleh dalam masa dua ke tiga tahun.
“Kalau anda memasang niat mahu menjadi doktor kerana nak kaya semata-mata, saya nasihatkan lebih baik anda menjadi pemilik hospital,” katanya lagi.
Beliau berkata, bidang perubatan kini semakin sesak dengan graduan manakala pengkhususan semakin terhad. Tanpa menjadi pakar, pendapatan sebagai doktor adalah rendah.
Sebaliknya, beliau mencadangkan pelajar cemerlang mempertimbangkan pengajian dalam bidang lain seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, kewangan, perakaunan dan aktuari.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
