OKU cerebral palsy genggam ijazah, buktikan kekurangan bukan halangan. Momen sukar 4 tahun akhirnya terbalas buat netizen sebak

No Image Caption
A
A
A

GRADUAN orang kurang upaya (OKU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam ijazah selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang empat tahun pengajian.

Biarpun dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy, Zulfaqar Aslam Zulkefli, 24, membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk menggenggam segulung ijazah dan berdiri setanding insan lain.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berjaya menamatkan pengajian sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai apabila terus bangkit menghadapi kekangan fizikal tanpa pernah mengeluh.

No Image Caption

Anak sulung daripada empat beradik itu kini semakin dikenali sebagai pencipta kandungan di platform TikTok dengan perkongsian mengenai kehidupan hariannya di kampus serta cabaran sebagai pelajar OKU sepanjang berada di UniSZA. 

“Melalui media sosial, saya mahu tunjuk kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu hidup berdikari, belajar dan berjaya seperti orang lain. Kekurangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk berhenti berusaha,” katanya.

No Image Caption

Asal dari Kuala Berang, Terengganu,  Aslam merupakan anak kepada pasangan pesara guru, Zulkefli Mamat, 55, dan Rohana Sulong, 55, yang menjadi tulang belakang kepada kekuatannya sejak kecil.

Artikel Berkaitan:

Menurut bekas pelajar Tingkatan Enam SMK Badrul Alam Shah itu, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah meyakinkan orang sekeliling bahawa dirinya juga mampu melaksanakan tugasan sama seperti pelajar normal lain. 

No Image Caption

Namun, semangat dan keyakinan tinggi membantunya membuktikan kemampuan diri.

“Kadang-kadang orang rasa kasihan bila tengok saya tapi saya tidak mahu dikasihani. Saya mahu dihormati kerana usaha saya,” katanya yang sentiasa positif dalam setiap cabaran.

Rohana pula mengakui, amat terharu melihat kejayaan anaknya itu yang tidak pernah menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk berundur ke belakang sebaliknya menjadikannya kekuatan untuk terus maju.

“Aslam sejak kecil sudah menunjukkan semangat luar biasa. Kami sekeluarga sentiasa menyokong kerana dia bukan hanya belajar untuk diri sendiri tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.

Kisah Zulfaqar Aslam menjadi bukti bahawa kejayaan bukan milik mereka yang sempurna fizikalnya tetapi milik mereka yang kuat semangatnya dan Aslam juga membuktikan bahawa keterbatasan tidak mampu mematahkan keazaman seseorang yang mahu berjaya.

Sumber: Facebook

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang