Penat cuba jadi normal, usia 38 tahun wanita disahkan autisme dan ADHD dewasa. Kongsi tanda-tanda & cara dapatkan kad OKU 

No Image Caption
A
A
A

'SELALU rasa penat sangat, rasa ‘lain’ sejak kecil." 

Demikian pengakuannya yang cukup menceritakan perjuangan wanita, Sha Ramson Abdullah, 38, untuk hidup normal selama lebih tiga dekad.

Pada usia tersebut, dia akhirnya menemui jawapan yang selama ini selepas disahkan menghidap Autisme (ASD Level 1) dan ADHD Dewasa. 

AUTISME dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) adalah dua keadaan yang sering menjadi dikaitkam dengan kanak-kanak, rupanya sudah lama bersarang dalam diri.

Autisme ialah gangguan perkembangan saraf yang menjejaskan cara seseorang berkomunikasi, berinteraksi dan berkelakuan manakala ADHD pula satu keadaan kronik yang mempengaruhi cara otak berfungsi, menyebabkan kesukaran dalam memberi tumpuan, mengawal tingkah laku impulsif dan seringkali juga hiperaktif.

 

No Image Caption

"Saya baru tahu saya autistik dan ya, saya dewasa.

"Pada 2 Julai 2025 (Rabu), saya akhirnya disahkan secara rasmi oleh pakar psikiatri sebagai individu autisme (ASD Level 1) dan ADHD gabungan yang dikenali sebagai AuDHD.

Artikel Berkaitan:

"Proses diagnosis ini bukan sembarangan. Ia dibuat berdasarkan kriteria daripada DSM-5 dan ujian IQ Wechsler Adult Intelligence Scale (WAIS).

"Sejak itu, saya mula perlahan-lahan belajar menyesuaikan hidup ikut kapasiti dan keperluan diri saya sebagai seorang neurodivergent.

"Bila sebut autisme, ramai terus bayang budak kecil. Kebanyakan orang fikir autisme cuma berlaku pada budak-budak. Siap bayang yang jenis tak boleh bercakap, menangis tutup telinga bila dengar bunyi bising dan suka susun mainan ikut warna.

"Tapi tak ramai tahu bahawa autisme juga wujud dalam kalangan orang dewasa macam saya.

"Sebenarnya, ramai je orang dewasa yang hidup bertahun-tahun tanpa tahu mereka autistik. Mereka kerja, ada keluarga, ada kawan, ada rutin  tapi dalam diam struggle benda-benda yang nampak remeh pada orang lain. 

No Image Caption

"Dari luar nampak normal, tapi dalam kepala? Hanya Tuhan yang tahu," luahnya.

Dalam pada itu, Sha turut berkongsi tentang autisme dan simptom dialaminya.

"Macam mana nak tahu kita autistik? Autisme bukan penyakit. Bukan juga masalah mental.

"Autisme ini sejenis gangguan perkembangan neurologi yang sudah terbentuk sejak dalam kandungan lagi. Ia bukan disebabkan trauma. Bukan salah didikan. Dan bukan sebab kena 'gangguan.'

"Autisme datang dalam bentuk spektrum yang membawa maksud  setiap orang autistik tak sama," kongsinya.

'Saya ingatkan proses buatkad OKU ini ambil masa tiga hingga empat bulan. Rupanya dalam masa lima hari saja! Tak sampai seminggu' -Sha
'Saya ingatkan proses buatkad OKU ini ambil masa tiga hingga empat bulan. Rupanya dalam masa lima hari saja! Tak sampai seminggu' -Sha

Ia mempunyai tiga peringkat:

Level 1 – Ringan

Level 2 – Sederhana

Level 3 – Berat

Tanda-tanda autisme pada usia dewasa dan proses diagnosis

Berikut antara ciri-ciri biasa yang sering tak disedari:

1. Sensitiviti sensori

Tidak tahan bunyi kuat, lampu terang dan tempat sesak. Malah, baju pun boleh rasa tak selesa.

2. Sukar memahami isyarat sosial

Ambil semua secara literal. Kalau orang cakap “pintu hati tertutup”, akan bayang pintu betul-betul.

3. Mudah burnout

Selepas bergaul, otak dan badan rasa lesu seminggu. Kena ‘control’ muka, nada suara, reaksi. Keadaan ini meletihkan.

4. Perlu rutin konsisten

Panik bila rutin terganggu. Suka benda yang sama dan susunan barang ikut cara tertentu.

5. Sukar buat keputusan kecil

Hendak pilih makan apa pun ambil masa kerana otak beku bila terlalu banyak pilihan.

6. Terlalu jujur dan lurus

Cakap terlalu terus-terang sampai disalah faham sebagai biadab sedangkan mereka hanya jujur.

7. Pandai sembunyikan emosi

Luaran nampak tenang, tapi dalaman penuh gelora. Bila overwhelmed, akan diam terus.

No Image Caption

Proses diagnosis autisme dewasa

Diagnosis bukan boleh dibuat suka-suka. Ia melibatkan:

-Temu bual terperinci

-Sejarah perkembangan dari kecil

-Pemerhatian tingkah laku

-Ujian seperti:

-DSM-5 Criteria

-WAIS-IV

Ia hanya boleh dilakukan oleh:

– Psikologi klinikal bertauliah

– Pakar psikiatri neurodevelopmental

Sha turut berkongsi selepas didiagnosis beliau merasakan kelegaan dan rupanya ramai dewasa autistik sepertinya.

“Patutlah aku penat sangat dengan dunia…”

“Rupanya aku bukan pemalas, aku autistik.”

"Diagnosis bukan alasan untuk lari dari tanggungjawab tetapi ia jawapan yang membuka ruang untuk self-compassion dan penjagaan diri yang lebih sesuai. 

"Autisme bukan penghalang untuk berkahwin, menjadi ibu bapa, berjaya dalam kerjaya dan menyumbang pada masyarakat

"Mereka cuma perlukan, faham, sokongan dan ruang selamat untuk jadi diri sendiri," kongsinya.

Langkah memohon kad OKU

Berdasarkan penilaian saintifik dan klinikal serta disahkan sebagai autisme peringkat satu atau ringan, Sha telah memohon kad Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori neurodevelopmental disorder.

"Proses permohonan telah bermula pada 16 Julai 2025, apabila saya menghantar borang permohonan ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pada 18 Julai, saya menerima surat pengesahan kelulusan kad OKU digital. Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan bahawa maklumat OKU telah dimasukkan ke dalam sistem dan kad boleh diambil di kaunter.

"Pada 21 Julai, saya mencetak sendiri salinan digital kad tersebut melalui laman sesawang rasmi JKM dan pada 23 Julai, saya hadir ke pejabat JKM untuk mengambil Kad OKU fizikal.

"Saya akui, saya menyangka proses ini akan mengambil masa tiga hingga empat bulan. Namun, segalanya selesai dalam tempoh kurang daripada seminggu. Masya-ALLAH, satu kemudahan yang amat saya syukuri," kongsinya.

Dalam pada itu, wanita berkenaan turut berkongsi kad OKU penting bagi individu dengan autisme ringan.

"Masih ramai yang kurang jelas tentang keperluan kad OKU bagi individu yang tergolong dalam spektrum autisme tahap ringan.

"Tanggapan umum sering menyamakan status OKU dengan keupayaan fizikal semata-mata. Namun, realitinya, individu seperti kami menghadapi cabaran yang ketara dalam fungsi neurologi yang tidak kelihatan secara luaran.

Berikut ialah beberapa sebab mengapa kad OKU amat penting bagi individu autisme:

1. Pengiktirafan sah dan perlindungan hak

Kad OKU memberikan pengesahan rasmi bahawa seseorang individu mempunyai keperluan khas. Ini penting dalam mengelakkan diskriminasi dalam pelbagai urusan seperti pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.

2. Akses kepada kemudahan dan sokongan

Pemegang kad OKU berpeluang memohon pelbagai insentif dan program seperti:

  • Pelepasan cukai
  • Elaun pekerja OKU
  • Rawatan dan terapi bersubsidi
  • Kursus latihan kemahiran khas
  • Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

Sokongan ini penting bagi individu neurodivergent untuk membina kehidupan berdikari dan stabil.

3. Penyesuaian berpatutan (reasonable accommodation) di tempat kerja

Ramai individu autisme ringan mampu bekerja namun berdepan kesukaran dalam persekitaran kerja konvensional  seperti bunyi bising, keperluan interaksi sosial berlebihan dan tekanan multitugas.

Kad OKU membolehkan individu terbabit memohon penyesuaian seperti:

  • Waktu kerja fleksibel
  • Kerja dari rumah
  • Ruang kerja yang senyap dan kurang rangsangan sensory

Tanpa sokongan ini, ramai yang akhirnya berhenti kerja disebabkan keletihan melampau (burnout) atau salah faham daripada pihak majikan.

4. Rawatan dan sokongan kesihatan mental

Individu autistik dewasa sering mengalami masalah kesihatan mental seperti kecemasan, kemurungan dan trauma berpanjangan yang berpunca daripada salah faham terhadap keperluan mereka sejak kecil.

Rawatan susulan dan sesi terapi sangat membantu dan pemegang kad OKU layak menerima rawatan ini dengan kadar subsidi.

Menurutny lagi, ramai individu dengan autisme ringan dalam kalangan profesional seperti pensyarah, doktor, penulis, pelajar universiti dan usahawan.

Namun, itu tidak bermaksud mereka tidak berjuang. Di sebalik kebolehan mereka, tersembunyi tekanan sensori, kepenatan emosi, keletihan mental dan keperluan sosial yang tidak difahami.

Sumber: Facebook

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang