Payung & tali kasut penyelamat: Suri rumah, tukang jahit jadi bidan terjun sambut kelahiran bayi tepi jalan

No Image Caption
A
A
A

Di saat kebanyakan orang hanya mampu memandang dari jauh, dua wanita berbeza latar belakang ini memilih untuk bertindak.

Seorang suri rumah, Syarifah Munawwarah Sayed Muhammad, 36, dan seorang tukang jahit, M Bhavani Thevi, 34, menjadi ‘bidan terjun’ menyambut kelahiran seorang bayi lelaki di tepi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia, Johor Bahru, Ahad lalu.

Lokasinya bukan bilik bersalin yang lengkap dengan peralatan moden, sebaliknya di atas jalan tar yang basah dek hujan, di tengah kesesakan lalu lintas.

Bagi Syarifah Munawwarah, pengalaman ini pastinya tidak akan dilupakan. Sebagai suri rumah, dia terbiasa mengurus hal keluarga, namun kali ini tangannya digunakan untuk sesuatu yang jauh lebih besar iaitu membantu menyambut nyawa baru ke dunia.

No Image Caption

“Saya bersyukur kerana dapat membantu bayi tersebut lahir dengan selamat.

"Ini kali pertama saya sambut kelahiran di tempat sebegini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Ketika melihat seorang wanita sarat mengandung hampir melahirkan, dia tidak memikirkan apa-apa selain keselamatan ibu dan bayi.

Hujan mulai turun, darah sudah banyak mengalir dan orang yang berhenti kebanyakannya lelaki yang bimbang untuk membantu.

MENJAGA AURAT

Tidak lama kemudian, Bhavani Thevi yang dalam perjalanan ke rumah bapa mentua bersama suami turut berhenti. Sebagai tukang jahit, tangannya memang cekap dan pantas, namun kali ini ia digunakan untuk menadah nyawa baru.

“Kami hubungi talian kecemasan. Pegawai KKM beri panduan supaya saya tidak panik.

"Walaupun tiada pengalaman perubatan, saya cuba tenangkan ibu itu,” ujarnya.

Dalam keadaan serba kekurangan, mereka hanya bergantung pada kain dan payung yang dihulurkan oleh orang ramai untuk menjaga aurat ibu tersebut.

Detik paling mencabar datang apabila bayi itu lahir bersama uri sebelum ambulans sempat tiba.

Syarifah Munawwarah yang berada paling hampir segera mengambil tindakan pantas mengikat tali pusat bayi menggunakan tali kasut.

“Kami terpaksa guna apa yang ada untuk hentikan pendarahan.

"Masa itu saya duduk bersila di hadapan ibu tersebut, sambil darah membasahi pakaian saya,” ceritanya.

Bayi itu menangis sebaik dilahirkan, tanda dia selamat. Ibu pula berjaya bertahan sehingga dibawa ke hospital hampir 30 minit kemudian.

No Image Caption

INSIDEN BERSEJARAH

Selepas insiden bersejarah itu, mereka membentuk kumpulan WhatsApp sebagai tanda persahabatan yang lahir dari momen genting tersebut.

Bagi Bhavani, peristiwa itu bukan sekadar membantu, tetapi peluang untuk mengenali insan-insan berhati mulia.

“Saya takkan lupa semua yang terlibat hari itu. Ia pengalaman berharga yang akan saya kenang selamanya,” katanya.

Syarifah pula menyimpan hasrat untuk bertemu kembali dengan ibu dan bayi tersebut, sekadar melepaskan rindu pada momen luar biasa yang telah mereka lalui bersama.

No Image Caption

Kisah dua wanita ini membuktikan, kita tidak perlu bergelar doktor untuk menyelamatkan nyawa.

Kadang-kadang, tangan yang biasa mengadun tepung atau menjahit baju mampu menjadi penyelamat dalam keadaan paling mencabar.

Di tengah hujan, di atas jalan yang basah, dengan tali kasut sebagai ‘alat perubatan’ sementara, sebuah kehidupan baru menyapa dunia, disambut oleh dua hati yang berani dan ikhlas.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang