Pelajar Tingkatan 1 hilang barang, Zara Qairina dipanggil. Arwah menangis nafi tuduhan, lafaz ‘wallahi’

No Image Caption
A
A
A

MEMASUKI minggu ketiga, prosiding inkues kematian Zara Qairina terus menjadi perhatian. Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner,  Zara Qairina Mahathir dilihat menangis dan menafikan tuduhan mencuri sebelum menuju ke tandas buat kali terakhir.

Memetik Bernama, saksi kelapan inkues berkenaan, Azhari Abd Sagap, 31, mendakwa dia menerima salinan pengakuan bertulis daripada lima pelajar berhubung insiden tersebut.

Azhari yang juga guru Bahasa Arab Zara memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan dokumen berkenaan ditulis selepas dia mengarahkan warden lain menjalankan siasatan dalaman pada 16 Julai lalu, sebaik pelajar itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Pada malam sebelum kejadian, seorang pelajar Tingkatan Satu membuat aduan kepada ketua dorm bahawa barang miliknya hilang.

“Zara kemudian dipanggil dan ditanya mengenai perkara itu. Dia menafikan tuduhan serta bersumpah dengan lafaz ‘wallahi’,” katanya

Azhari menambah, sebelum itu pelajar-pelajar lain turut menyelongkar beg dan lokar milik Zara Qairina dan mendakwa menemui pin Jalur Gemilang kepunyaan ketua dorm.

Namun, jelasnya, Zara sekali lagi menegaskan dia tidak mengambil barang tersebut.

“Zara dikatakan meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit: ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’. 

"Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh seorang pelajar Tingkatan Satu.

“Kali terakhir dia dilihat ialah ketika keluar dari bilik berkenaan menuju ke tandas dalam keadaan menangis,” katanya.

Imbas kembali, Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai.

Remaja itu dimasukkan ke HQE sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 16 Julai.

Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur remaja itu bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Inkues kematian Zara bermula 3 September dijangka berakhir pada 30 September depan.

Sumber: Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang