Pulang ke kampus lebih awal, pelajar UPSI terselamat dari tragedi ngeri. 'Ramai sangka saya ada dalam bas itu...'

No Image Caption
A
A
A

SELURUH negara dikejutkan dengan kejadian menyayat hati melibatkan seramai 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disahkan terkorban dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.

Difahamkan, bas yang membawa 44 pelajar universiti berkenaan merupakan bas carter khas dari Jerteh ke tempat pengajian yang lazimnya digunakan bagi memudahkan penuntut pulang balik ke kampus selepas bercuti.

Menerusi perkongsian di Facebook, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memaklumkan bahawa seramai 44 pelajar yang telah memberikan nama untuk menaiki bas berkenaan.

Namun, dua daripada mereka dikatakan tidak berbuat demikian, menjadikan jumlah penumpang ketika kejadian hanya seramai 42 orang.

Menceritakan pengalaman seorang penuntut yang tidak menaiki bas tersebut, dia yang dikenali sebagai Alia meluahkan rasa terkejut dan sedih selepas menerima berita tragis mengenai kemalangan yang melibatkan rakan-rakan universitinya.

"Sekitar jam tiga pagi saya dikejutkan dengan berita bahawa bas yang membawa rakan-rakan terlibat kemalangan, sepatutnya saya juga menaiki kenderaan berkenaan.

"Memang terkejut, terkedu mendengar rakan-rakan terbabit dengan kemalangan. Malah, ramai juga menyangka saya berada dalam bas itu memandangkan nama saya ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan media tempatan, Alia sepatutnya menyambut Hari Raya Aidiladha di Setiu, Terengganu dan dijadualkan pulang bersama-sama rakan-rakannya dengan menaiki bas yang sama.

Namun, Alia membuat keputusan untuk mengubah perancangan dengan pulang ke kampus lebih awal dan menyambut Hari Raya Aidiladha di tempat pengajian, sekali gus menyelamatkan dirinya daripada tragedi yang tidak diduga itu.

"Saya sepatutnya menyambut Aidiladha di Setiu, Terengganu dan akan pulang dengan menaiki bas bersama-sama malam tadi, namun saya ubah perancangan untuk pulang ke kampus lebih awal.

"Namun, pagi ini ramai yang menghubungi kerana menyangka saya juga berada dalam bas," katanya.

Alia yang juga pelajar tahun pertama itu berkata, kesemua mangsa yang berada dalam bas berkenaan berasal dari Besut dan Setiu, Terengganu.

Terdahulu, SinarPlus melaporkan bahawa seramai 15 pelajar universiti terbabit disahkan maut dalam satu kemalangan tragis yang melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Sumber: Harian Metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang