Tragis! UPSI berduka, 15 meninggal dunia bas bawa penuntut bertembung Alza. 'Beberapa mangsa tercampak...'

SERAMAI15 penuntut pergi selamanya serentak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyatakan kedukaan.
Facebook Naib Canselor UPSI berkongsi hantaran sayu hitam putih.
"UPSI berduka 9 Jun 2025," titipnya.
Bahagian Komunikasi Korporat UPSI memaklumkan, pihaknya menerima laporan awal mengenai satu kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar UPSI dalam sebuah bas persiaran yang dilaporkan berlaku di kawasan Gerik, Perak.
"Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara tersebut.
"Sehubungan itu, pihak universiti memohon seluruh warga UPSI dan masyarakat umum untuk bersama-sama mendoakan agar urusan ini dipermudahkan.

"Pihak universiti sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris," katanya dalam kenyataan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan kemalangan tersebut melibatkan 48 mangsa.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kemalangan menyebabkan bas dan juga Perodua Alza yang datang dari arah yang sama terbabas ke dalam parit.
Kemalangan berkenaan melibatkan bas yang membawa 44 adalah penumpang dalam bas merangkumi 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang pembantu.
Sementara itu, dalam Perodua Alza pula, terdapat empat orang di mana tiga mengalami cedera ringan dan seorang lagi patah tangan.
Menteri Pengajjian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam hantaran di Facebook menzahirkan ucapan takziah buat mangsa yang terlibat.

"Salam takziah untuk keluarga mangsa yang turut melibatkan warga UPSI awal pagi tadi.
"Sebarang lanjut akan dikemas kini. KPT akan menyalurkan bantuan yang diperlukan," kongsinya.
Sementara itu, KPT dalam hantaran awal di Facebook berkongsi kronologi insiden maut berkenaan:
1-Seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
2-Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.10 pagi apabila Hospital Gerik menerima maklumat berhubung satu kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan tersebut. Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, yang terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota, segera dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 2.11 pagi.
3-Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbalik selepas bertembung dengan Perodua Alza yang terbabas ke dalam parit. Beberapa mangsa dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan, manakala yang lain terperangkap dalam bas.
4-Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan hidraulik khas untuk memotong bahagian belakang bas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
5-Difahamkan, empat mangsa yang maut dan dua yang parah berjaya dikeluarkan terlebih dahulu dan diserahkan kepada kakitangan perubatan serta polis untuk tindakan lanjut.
6-Operasi menyelamat melibatkan seramai 17 anggota bomba dari BBP Gerik dan BBP Jeli, selain dibantu oleh anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
7-Setakat ini, jumlah korban disahkan seramai 15 orang, kebanyakannya merupakan penumpang bas yang membawa pelajar UPSI.
8-Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi kemalangan tersebut.
Pihak berkenaan dalam masa yang sama merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petugas perubatan serta semua agensi penyelamat yang terlibat atas usaha pantas dan penuh dedikasi dalam operasi menyelamat dan pengurusan insiden berkenaan.
Sumber: UPSI, KPT, Sinar Harian, Astro Awani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang