Rezeki luar biasa buat Putri Qisya: Terima RM500 sebulan, tajaan umrah dan penginapan percuma
NASIB yang menimpa seorang anak kecil bernama Putri Qisya Nur Izzat, 12, selepas kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik-beradiknya dalam tragedi di Sungai Korok, Jitra, rupa-rupanya membuka ruang rezeki yang tidak disangka-sangka.
Kisah menyayat hati itu mengundang simpati daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap masa depan Putri Qisya.
Antara nama besar yang turut tampil menghulurkan bantuan ialah penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Qobin memaklumkan bahawa beliau akan menaja sumbangan pendidikan sebanyak RM500 sebulan untuk Putri Qisya sehingga usianya mencecah 17 tahun.
Bukan itu sahaja, beliau turut menghadiahkan tajaan menunaikan umrah serta penginapan percuma di resort miliknya, Himalaya Camping Resort di Gopeng, Perak.
“Insya-ALLAH atas rezeki ALLAH ini, mulai bulan Ogos ini sampai Qisya umur 17 tahun, uncle akan jaga Qisya dari segi pendidikan…RM500 setiap bulan dan saya akan lawat Qisya selalu. Tahniah dapat masuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara).

“Yang kedua uncle nak bawa Qisya dengan mak cik pergi umrah bersama isteri saya dan terakhir, Qisya boleh datang ke resort uncle dekat Gopeng bila-bila masa Qisya nak duduk dekat sana.
“Terima kasih Hot FM jumpakan saya dengan Qisya dan keluarga, mohon izin untuk bersama-sama bagi sedikit sebanyak,” katanya.
Dalam pada itu, Qobin turut berpesan kepada Qisya agar membesar menjadi insan berguna dan sentiasa membantu orang lain apabila sudah berjaya kelak.

“Jadi pilot tentera udara ke atau jadi orang yang berguna, yang penting bila dah senang, tolong keluarga balik dan jangan lupa tolong orang susah. Itu yang paling penting,” nasihatnya.
Terdahulu, Qobin pernah memuat naik video di TikTok meminta bantuan netizen untuk menjejak Putri Qisya kerana berhasrat untuk menjaga kebajikan remaja itu.
Susulan itu, pertemuan yang menyentuh perasaan dan penuh emosi itu akhirnya telah diaturkan oleh stesen radio popular, Hot FM.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan kehilangan enam sekeluarga ketika dalam perjalanan pulang dari rumah saudara di Taman Aman, Jitra ke Jerlun sekitar jam 5.30 pagi pada 5 Julai lalu.
Kehilangan itu terjawab apabila kenderaan dinaiki kesemua mereka ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Korok pada 7 Julai di mana kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia.
Anak sulung mangsa, Putri Qisya tidak turut serta kerana berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
